'Bapa tunggal' tular dukung bayi penerima bantuan zakat

Tangkap layar hantaran LZS menerusi Facebook pada Selasa.
Tangkap layar hantaran LZS menerusi Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - 'Bapa tunggal' yang tular kerana dipercayai membesarkan anak kecilnya seorang diri selepas kehilangan isteri adalah penerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2022.

LZS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pihaknya telah memberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan bulanan, deposit dan sewa rumah bagi memastikan kebajikan keluarga itu terjamin.

Menurutnya, LZS menerusi Skuad Saidina Umar (SSU) bersama Skuad Jejak Asnaf (SJA) daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah dihubungi lelaki itu yang dikenali sebagai Ezaz selepas hantaran oleh pengguna Facebook berkait dirinya tular di media sosial baru-baru ini.

"Sejak 2022 lagi LZS telah membantu bagi rumah sewa, kewangan bulanan dan sebagainya. Di pihak MAIWP Kuala Lumpur juga telah memberikan santunan bantuan kepadanya.

"Ada berlaku sedikit salah faham dan masalah kecil dengan pihak tuan rumah menyebabkan Ezaz berhijrah ke selatan tanah air untuk mencari kerja dan peluang lain. Ketika berada di sana, ada masalah juga dan Ezaz akhirnya kembali ke Lembah Klang untuk membina semula kehidupan.

"Dia juga nak merujuk kembali kepada LZS. Dalam tempoh satu tahun, kami tidak menerima berita dia tetapi bantuan kami masih kekalkan kerana kita menunggu dia hadir untuk kemas kini bantuan," katanya pada Selasa.

Sebelum ini dilaporkan, LZS sedang mengesan 'bapa tunggal' yang tular di media sosial selepas pengguna Facebook memuat naik hantaran mengenai kisah lelaki tersebut yang menolak motosikalnya kerana kehabisan minyak di tepi jalan sambil mendukung bayi dianggarkan berusia tiga bulan.

Menurut hantaran itu, lelaki berkenaan memberitahu bahawa isterinya meninggal dunia beberapa bulan lalu dan sejak itu dia menjadi satu-satunya penjaga kepada anak kecil tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, lelaki itu juga dipercayai kehilangan pekerjaan sebagai pemandu kerana sering mengambil cuti demi menjaga bayi tersebut selain berkongsi bahawa usaha mendapatkan bantuan daripada pihak yang berwajib sering menemui jalan buntu.

Dalam pada itu, Ezaz menafikan beberapa dakwaan termasuk mengenai isterinya yang dilapor telah meninggal dunia beberapa bulan lalu dan menjadi bapa tunggal.

"Isu tular ini timbul daripada salah faham yang berlaku di stesen minyak ketika saya dalam perjalanan untuk bertemu rakan di Seksyen 7 dan kemudian diputar belit sehingga menimbulkan fitnah.

"Isteri masih hidup tidak seperti mana yang ditularkan, anak-anak pun masih ada... tidak diberikan menjadi anak angkat sesiapa.

"Ezaz tegaskan dan nafikan apa yang telah tular sebelum ini sama ada isu isteri meninggal dunia, tidak dapat bantuan dan anak nak diberikan kepada orang lain. Semua ini saya nafikan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!