UMPSA lakar sejarah, 45 graduan UMPSA-BJTU tamat pengajian
BEIJING - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah baharu apabila kumpulan pertama terdiri 45 graduan program kerjasama UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan rel.
Prof Ts Dr Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA berkata, daripada jumlah tersebut seramai 10 pelajar tamat pengajian dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, 20 pelajar (Kejuruteraan Mekanikal) dan 15 lagi Kejuruteraan Awam.
Menurutnya, dengan kelahiran graduan perintis UMPSA-BJTU ini, Malaysia kini bersedia untuk menggerakkan industri rel.
"Dengan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi ia mampu menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
"UMPSA merupakan universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program ijazah dual yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama dua setengah tahun di BJTU, China," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Majlis menyaksikan graduan menerima ijazah masing-masing daripada Secretary of the CPC Beijing Jiaotong University (BJTU), Chen Ziji dan Timbalan Presiden BJTU, Professor GAO Liang mewakili BJTU.
UMPSA pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Prof Ts Dr Kamal Yusoh serta Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Prof Dr. Mahadzir Ishak @Muhammad.
Ujarnya, program itu juga berjaya mengadaptasi Work-based Learning (WBL) yang berteraskan industri dan memberi peluang pelajar menimba pengalaman industri di China.
Jelasnya, kejayaan tersebut merupakan langkah signifikan ke arah melahirkan tenaga kerja mahir untuk menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia, termasuk projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada 2026.
"Kita menghargai sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Duta Besar China di Malaysia dan hasil kolaborasi dengan pihak BJTU.
“Program ijazah dual ini membuka lembaran sejarah di antara UMPSA dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua universiti," tambahnya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada UMPSA dan BJTU atas usaha menghasilkan graduan yang berkaitan teknologi rel.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, seramai 102 pelajar telah menyertai program terbabit yang memberi penekanan kepada pembangunan kepakaran berkaitan teknologi rel.
Universiti tersebut telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak tahun 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!