Meta dijangka terima lesen beroperasi tidak lama lagi - Fahmi
PUTRAJAYA - Meta Platforms Inc (Meta) menjadi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial keempat dijangka menerima lesen untuk beroperasi di Malaysia tidak lama lagi, selepas Tencent (WeChat), ByteDance (TikTok) dan Telegram.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat jam 5 petang Selasa, WeChat, TikTok dan Telegram telah mendapat lesen manakala Meta telah menghantar beberapa dokumen untuk membuat pengesahan perkara dibangkitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Saya jangka proses itu berjalan dengan tertib dan lancar. Jadi, setakat ini tiga telah menerima lesen iaitu WeChat, TikTok dan Telegram (manakala) Meta tidak lama lagi.
"Dua lagi, iaitu Google yang mengusahakan YouTube, dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) masih dalam perbincangan dengan pihak SKMM,” katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Meta merupakan pengendali Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Sebelum ini, Tencent (WeChat) menjadi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial pertama menerima Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia diikuti ByteDance (TikTok) dan Telegram.
Mengenai kenyataan daripada X yang mendakwa jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai lapan juta orang, Fahmi berkata, SKMM memerlukan sedikit masa untuk membuat pengesahan perkara berkenaan.
"Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk buat proses pengesahan apa yang mereka sebut itu dan saya minta SKMM cuba untuk cepat, tetapi kita berikan sedikit masa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan YouTube dikategorikan sebagai aplikasi media sosial kerana wujudnya YouTube Shorts yang mirip TikTok dan mempunyai elemen berkongsi dan ruangan komen.
"Saya minta SKMM untuk meneruskan perbincangan (dengan YouTube) dan kita berikan sedikit masa. Sebagai contoh, sekiranya pihak YouTube boleh menjelaskan berapa ramai pengguna mereka yang menggunakan aplikasi Shorts.
"... dan adakah mereka berhasrat untuk dalam tempoh yang tidak terlalu lama untuk spin-off Shorts ini menjadi satu aplikasi yang berbeza dan ia melibatkan aspek teknikal,” katanya.
Mengenai LinkedIn, Fahmi berkata, beliau telah meminta SKMM meneliti sama ada platform itu mempunyai jumlah pengguna yang ramai di Malaysia, iaitu lebih lapan juta dan sekiranya perlu ia turut ditakrifkan sebagai media sosial.
Sementara itu, Fahmi berkata, ketika ini kesemua pengendali media sosial masih boleh dihubungi bagi tindakan menurunkan sebarang kandungan yang melanggar undang-undang, seperti iklan judi dalam talian di platform mereka.
"(Sebagai contoh) iklan judi dalam talian yang dimuat naik dalam platform YouTube. Bila disampaikan (kandungan melanggar undang-undang), pihak YouTube mengambil tindakan, walaupun ia belum dilaksanakan (lesen),” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!