Air Terjun Serendah masih ditutup

Kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam sedang giat dilakukan di Air Terjun Serendah di sini. Foto: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor.
Kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam sedang giat dilakukan di Air Terjun Serendah di sini. Foto: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor.
A
A
A

HULU SELANGOR - Air Terjun Serendah di sini masih ditutup kepada orang ramai sejak 28 September 2024 bagi memberi laluan terhadap kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam di kawasan rekreasi tersebut.

Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor memaklumkan, walaupun penutupan itu telah dihebahkan, namun notis pemberitahuan di laluan masuk ke kawasan tersebut telah hilang dipercayai akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Notis penutupan Air Terjun Serendah yang dipasang MPHS telah hilang. Foto: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor.
Notis penutupan Air Terjun Serendah yang dipasang MPHS telah hilang. Foto: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor.

Menurutnya, ia telah menimbulkan kekeliruan dan hasil pemantauan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mendapati, masih terdapat individu yang datang berkelah di kawasan terbabit.

"Ketika singgah di kawasan ini, kelihatan beberapa pekerja binaan dan jengkaut berada di sekitar lokasi... ternyata kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam di situ masih giat dijalankan.

"Walaupun penutupannya telah dihebahkan sebelum ini oleh pihak MPHS tetapi papan tanda serta notis yang dipasang di hadapan laluan masuk dilihat telah 'hilang' entah ke mana akibat sikap yang tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

"Ini bukan saja akan mengelirukan orang ramai tetapi turut membimbangkan semua pihak terutamanya dari segi keselamatan pengunjung kerana menurut hasil pemantauan pihak MPHS masih terdapat mereka yang datang berkelah," katanya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Air Terjun Serendah masih ditutup bagi kerja-kerja naik taraf. Foto: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor.
Air Terjun Serendah masih ditutup bagi kerja-kerja naik taraf. Foto: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor.

Tambah agensi itu, setakat ini, hanya Air Terjun Serendah dan Santuari Ikan Sungai Chiling di Selangor sahaja yang masih ditutup kepada orang ramai.

Ujarnya, Sungai Chiling dijangka dibuka semula selepas Hari Raya Aidilfitri, namun tarikh pembukaan Air Terjun Serendah masih belum dapat dimuktamadkan lagi.

"Diharap orang ramai dapat membantu memberikan kerjasama sebaiknya bagi memastikan usaha pihak MPHS dalam menaik taraf kemudahan awam sekitar lokasi air terjun berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!