Amar Baharin lega isu tanah dapat diselesaikan
AKTOR Amar Baharin, meluahkan rasa lega apabila isu tanah milik ibunya, Norhayati Abd Aziz di Semenyih, Selangor yang berlarutan sejak 13 tahun lalu dapat diselesaikan secara baik.
Jelas Amar, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, namun enggan berkongsi maklum lanjut bagi menghormati permintaan pihak PTG.
“Kami sudah pun dipanggil untuk berbincang dengan PTG dan kami sudah bersetuju dan tandatangani satu surat untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai isu ini. Itu sebab sekarang saya ambil pendekatan untuk berdiam diri.
"Isu itu pun sudah ada tindakan. Jadi masalah ini sudah selesai, dan mereka juga sudah jelaskan bagaimana perkara ini boleh terjadi,” jelasnya yang mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu membuat liputan mengenai perkara tersebut sehingga membuka mata pihak atasan.
Dalam masa sama, suami kepada aktres Amyra Rosli itu menolak statusnya sebagai selebriti menjadi sebab perkara itu dapat diselesaikan secara baik.
“Saya tak rasa sebegitu sebab ibu saya sudah alami perkara ini berbelas tahun lalu, jadi kalau nak kata cepat, pastinya terus selesai, jadi ia bukan disebabkan saya seorang selebriti.
“Cuma, saya rasakan perkara ini boleh menjadi lambat kerana mereka tidak pergi pada saluran yang betul.
"Kalau ikut langkah demi langkah, insya-ALLAH perkara ini boleh diselesaikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Amar menuntut penjelasan PTG Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya di Semenyih yang dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain secara tidak sah.
Dalam perkongsian menerusi akaun X dan Instagram, dia mendedahkan kejadian itu disedari keluarga ketika bapanya masih hidup, apabila meninjau kawasan tanah untuk diusahakan dan terkejut apabila mendapati sebuah rumah sudah dibina di situ.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengulas isu itu kemudian, memaklumkan tanah terbabit sudah diratifikasi semula sebelum ini dan ia bukan kes pertama di mana kebanyakan kes disebabkan perekodan yang dibuat secara manual sebelum ini.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah berkata, semua pemilik tanah di kawasan berkenaan sudah dipanggil bagi sesi pendengaran termasuk ibu pelakon berkenaan.
Katanya, tanah di kawasan berkenaan bukan sahaja membabitkan ibu Amar, malah enam atau tujuh pemilik lain.
Dr Yusri juga menyatakan isu membabitkan ibu Amar itu berpunca dari segi teknikal membabitkan pertindihan hak milik tanah antara beberapa pemilik tanah di kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!