Walaupun berlapik, wanita berhadas besar haram pegang al-Quran

HARAM bagi wanita haid memegang mashaf sekalipun secara berlapik menurut pandangan fuqaha Mazhab Syafie. -Foto: CANVA
HARAM bagi wanita haid memegang mashaf sekalipun secara berlapik menurut pandangan fuqaha Mazhab Syafie. -Foto: CANVA
A
A
A

APABILA seorang wanita berhadas besar, mereka memang tidak akan menyentuh mahupun membaca al-Quran.

Namun begitu, ada segelintir orang mengatakan bahawa kaum Hawa yang sedang haid boleh memegang al-Quran secara berlapik.

Benarkah begitu? Apa pandangan Islam dalam hal itu?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, haram bagi wanita haid memegang mashaf sekalipun secara berlapik menurut pandangan fuqaha Mazhab Syafie.

Ia bersandarkan kepada firman ALLAH SWT: “Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Surah al-Waqiah: 78-79)

MASHAF al-Quran merupakan kitab suci yang terpelihara. Maka individu yang mengalami hadas dilarang membawa mahupun memegang mashaf walaupun secara berlapik dengan kain. -Foto: CANVA
MASHAF al-Quran merupakan kitab suci yang terpelihara. Maka individu yang mengalami hadas dilarang membawa mahupun memegang mashaf walaupun secara berlapik dengan kain. -Foto: CANVA

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

Artikel Berkaitan:

Menerusi kitab Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib Dar al-Fikr, Mazhab Syafie berpandangan: “(Haram wanita haid memegang mashaf) walaupun pada tulisan nota kaki, antara garisannya, kertas putih di antaranya, jilid awal dan akhir yang bersambung dengan mashaf. Haram juga menyentuh mashaf walaupun secara berlapik.”

Bukan itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan pandangan yang terdapat dalam kitab Al-Ibanah wa Ifadah fi Ahkam al-Haid wa Nifas wa Istihadah yang menyatakan, haram menyentuh mashaf secara berlapik dengan kain perca.

“Ini kerana mashaf al-Quran merupakan kitab suci yang terpelihara. Maka individu yang mengalami hadas dilarang membawa mahupun memegang mashaf walaupun secara berlapik dengan kain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Alkafi #1888: Bolehkah wanita hadis pegang al-Quran secara berlapik.

Bagaimana pula jika melibatkan tafsir al-Quran? Bolehkah wanita berhadas besar memegangnya?

HARAM menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya. Sebaliknya, jika tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan. -Foto: CANVA
HARAM menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya. Sebaliknya, jika tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan. -Foto: CANVA

Dalam hal itu, pejabat mufti itu menjelaskan, jumhur ulama mengatakan, dibolehkan untuk menyentuh, membawa dan mengulang kaji tafsir al-Quran yang mana terdapat padanya ayat-ayat suci kalamullah meskipun dalam keadaan berjunub.

“Ini kerana yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna daripada al-Quran dan bukan membacanya. Maka, hukum al-Quran tidak terpakai kepadanya.

“Demikian pendapat Mazhab Maliki dan Hanbali,” katanya dipetik daripada artikel Irsyad Hukum ke-194: Hukum memegang tafsir al-Quran dalam keadaan berhadas.

Bagaimanapun, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menurut Mazhab Syafie yang sahih, haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya.

“Andai tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan.

“Namun, menyentuh tafsir seperti ini tidaklah mengurangkan penggunaan terhadap al-Quran. Adapun, yang terbaiknya adalah dengan berwuduk,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!