Campur tangan pelantikan kehakiman satu jenayah - Tengku Maimun
SHAH ALAM - Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan mana-mana pihak yang cuba mengganggu atau menghalangi kebebasan fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dianggap melakukan jenayah.
Beliau berkata, ia tertakluk di bawah Seksyen 34 Akta SPK dengan menyatakan bahawa seseorang yang didapati bersalah kerana mempengaruhi atau cuba mempengaruhi SPK boleh didenda tidak lebih RM100,000.
Menurutnya, hukuman penjara tidak lebih dua tahun juga boleh dikenakan terhadap pesalah atau kedua-duanya sekali.
“Sepanjang menjadi ahli suruhanjaya, saya tidak pernah campur tangan proses itu.
“Sehubungan itu, calon yang diperakukan bukan dipilih Ketua Hakim Negara tetapi sama ada pilihan majoriti atau keputusan bersama SPK,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Tambah beliau, calon yang bercita-cita menjadi pesuruhjaya kehakiman perlu memohon kepada SPK dan proses berkenaan akan diteruskan oleh suruhanjaya dengan menyemak prestasi hakim di mahkamah atasan seterusnya mengesyorkan mereka untuk kenaikan pangkat atau kedudukan.
Jelas Tengku Maimun, segala keputusan SPK dibuat berdasarkan undi majoriti secara rahsia sekiranya tiada kata sepakat.
Mengulas mengenai calon terpilih, beliau memberitahu bahawa nama berkenaan akan dimajukan kepada Perdana Menteri untuk pelantikan mengikut peruntukan Perlembagaan.
“Bagaimanapun, Akta SPK membenarkan Perdana Menteri tidak menerima calon yang disyorkan untuk pelantikan. Dalam kes sedemikian, Perdana Menteri boleh meminta dua lagi calon,” ujarnya.
Pada masa sama, Tengku Maimun memaklumkan bahawa tiada siapa selain SPK dan Perdana Menteri boleh mengesyorkan calon untuk dilantik ke sesuatu jawatan di mahkamah atasan.
Beliau berkata, ini kerana ia melangkaui peruntukan Akta SPK yang boleh menyebabkan pelantikan sedemikian ekoran tidak mengikut Perlembagaan atau menyalahi undang-undang.
Menurutnya, melangkaui peruntukan tersebut adalah cubaan mengganggu perjalanan keadilan dengan mempengaruhi operasi badan kehakiman.
“Mana-mana nama yang dipertimbangkan atas nasihat tidak wajar itu berdepan risiko dicabar melalui semakan kehakiman.
“Oleh yang demikian, sesiapa yang didapati melakukan ini juga berisiko didakwa di mahkamah,” jelas Tengku Maimun yang juga Pengerusi SPK.
Dalam pada itu, Tengku Maimun turut berkongsi ‘sejarah’ 15 tahun lalu sebelum Akta SPK digubal bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu selaku ketua pembangkang mengkritik kekurangan dan potensi campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan kehakiman.
Katanya, kini beliau yakin bahawa Anwar dan kerajaan akan berpegang pada kata-kata berkenaan dan terus berusaha menegakkan kebebasan kehakiman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!