Gerakan persoal keperluan guna tanah rizab sekolah untuk bina stesen LRT
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang diminta memberi penjelasan berhubung keperluan menggunakan tanah rizab sekolah untuk pembinaan stesen Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Sungai Pinang di sini.
Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan langkah susulan bagi memastikan rancangan asal untuk pembinaan sekolah tetap dilaksanakan setelah tanah tersebut diambil untuk pembinaan projek berkenaan.
"Kita tidak membantah pembinaan infrastruktur pengangkutan awam bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius.
"Bagaimanapun, kita berharap pembangunan kemudahan pengangkutan awam ini tidak menjejaskan atau mengorbankan pembangunan sektor pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, kerajaan negeri menafikan tanah di Sungai Pinang yang akan digunakan bagi pembinaan stesen LRT Laluan Mutiara adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah di negeri itu.
Sebaliknya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tanah yang dirancang untuk pembinaan stesen LRT itu adalah tapak untuk pembinaan sekolah.
Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, kenyataan Kon Yeow itu telah mengejutkan banyak pihak kerana menggunakan tanah rizab sekolah untuk projek LRT.
"Rakyat tertanya-tanya mengapa kerajaan boleh menggunakan tanah rizab sekolah itu untuk membina stesen LRT? Adakah kerajaan negeri atau kerajaan pusat mempunyai pelan alternatif untuk melaksanakan rancangan asal untuk membina sekolah?
"Jika tanah tersebut digunakan untuk pembinaan sekolah, ia akan memberikan manfaat besar kepada pelajar di kawasan tersebut selain dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah yang lebih jauh," tambahnya.
Beliau turut meminta kerajaan negeri memberi penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan rancangan asal di tanah tersebut, termasuk jenis sekolah yang dirancang untuk dibina serta pelan alternatif kerajaan bagi memastikan pembinaan sekolah tetap dilaksanakan di kawasan itu.
“Mengapa rancangan pembinaan sekolah di kawasan strategik seperti Sungai Pinang boleh dipandang ringan? Dalam konteks populasi Pulau Pinang yang terus berkembang dan sumber pendidikan yang semakin terhad, pembinaan sekolah baharu adalah amat diperlukan untuk mengurangkan tekanan kemasukan pelajar ke sekolah sedia ada.
"Mengapa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak mengutamakan pembinaan sekolah, sebaliknya menukar fungsi tanah tersebut untuk pembinaan stesen LRT?
"Lebih membingungkan, Kon Yeow sendiri mengakui, selepas perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri, baki tanah rizab tersebut tidak mencukupi untuk pembinaan sebuah sekolah," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan itu mencerminkan bahawa keperluan pendidikan telah diabaikan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Paling merisaukan adalah potensi risiko di sebalik langkah yang diambil kerajaan. Mungkin Kon Yeow akan mengatakan pihak kerajaan negeri akan mencari tanah lain untuk membina sekolah pada masa hadapan.
"Bagaimanapun, adakah langkah ini akan menjejaskan pembangunan pendidikan yang berterusan dalam jangka panjang?
"Dengan adanya 'precedent' ini, adakah pada masa depan akan berlaku lagi peristiwa yang sama di mana tanah yang diperuntukkan untuk pendidikan ditukar menjadi kegunaan komersial atau pembinaan infrastruktur lain?” ujarnya.
Tong Keong juga memohon kerajaan Persekutuan supaya tidak mengabaikan keperluan pendidikan negara pada masa akan datang demi kemudahan jangka pendek.
“Demi pembangunan jangka panjang Pulau Pinang dan masa depan generasi akan datang, perancangan pendidikan perlu diutamakan.
"Keputusan yang dibuat kerajaan harus mengambil kira pelbagai keperluan secara menyeluruh, memastikan setiap tanah dimanfaatkan untuk tujuan yang tepat demi memenuhi keperluan asas rakyat, bukannya mengutamakan rancangan lain yang dirancang kerajaan," katanya.
Terdahulu, Gerakan Pulau Pinang mendesak Kon Yeow menjelaskan sama ada tanah di Sungai Pinang yang akan digunakan bagi pembinaan stesen LRT Laluan Mutiara adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah atau sebaliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!