Penunggang motosikal maut dilibas kabel

Kren tersangkut mengakibatkan kabel terjatuh dan terkena mangsa.
Kren tersangkut mengakibatkan kabel terjatuh dan terkena mangsa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut dipercayai dilibas kabel yang tersangkut pada lori kren dalam kejadian di Jalan Kulim, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, penunggang motosikal yang datang dari arah Bukit Mertajam ke Kulim dikatakan tidak sempat mengelak kabel yang terjatuh selepas tersangkut pada palang kren.

Menurutnya, kabel tersebut terkena pada leher mangsa dan mengakibatkan motosikal yang ditungganginya terbabas.

"Mangsa berusia 40-an itu mengalami cedera parah di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Helmi berkata, pemandu kren berusia 20-an ditahan reman selama tiga hari sehingga 10 Januari depan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Ikhmal Mohd Shukori di talian 016-250 0386 atau 04-5382 222.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!