Skuad bola sepak Kolej Sultan Abdul Hamid kini dikenali KSAH Viper
SKUAD bola sepak bawah 13 tahun Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) kini dikenali dengan nama baharu, KSAH Viper dalam usaha penjenamaan dan mengembalikan kegemilangannya.
Pengetua KSAH, Shamsulbadri Ishak berkata, kolej tersebut mahu mengembalikan semula semangat pasukan tersebut yang telah ramai melahirkan ramai bekas pemain bola sepak Kedah dan kebangsaan.
Antara bekas pemain tersebut adalah Tan Cheng Hoe, Khamal Idris Ali, Azmi Mahmud, Khattul Anuar, Farizuan Che Hamid, Norazam Ishak, V. Thinagaran, Kean Seng Cheah, Farouk Ismail, Feriza Ismail dan Che Zambil Ahmad.
Exco Sukan dan Belia Kedah, Muhammad Radhi Mat Din, Ketua Jurulatih Interim Kedah Darul Aman FC, Victor Andrag dan bekas Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli antara bekas pemain yang pernah memperkuatkan pasukan bola sepak KSAH.
Menurutnya, gelaran baharu ini juga diharap dapat menonjolkan semangat baharu untuk sekolah tersebut yang ditubuhkan pada tahun 1908.
"Nama gelaran baharu, KSAH Viper, dipilih kerana ianya mencerminkan sifat pergerakan aktif dan keupayaan menyerang yang berulang kali, sesuai dengan kemampuan pasukan ini dalam menghasilkan serangan. Berdasarkan sifat yang aktif itu.
"Kami berharap semangat pemain juga akan melonjak lebih tinggi dalam memberi aksi terbaik yang akan diwakili KSAH nanti," katanya pada Rabu.
Cabaran terdekat yang bakal dihadapi oleh KSAH Viper adalah Kejohanan Bola Sepak Bawah 14 tahun Grand Worldwide - MSSK 2025 yang akan bermula pada Khamis di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KSAH Viper, Mohd Firdaus Ahmad berkata, pasukannya mendapat sokongan daripada Jurulatih berpengalaman pasukan KDA FC, Yazid Yassin, untuk membantu mengendalikan pasukan tersebut.
Menurutnya, ramai bekas pemain Kedah turut tampil bantu dan memberikan bimbingan kepada pemain di peringkat akar umbi ini.
"Sebelum ini kami juga mendapat sokongan daripada bekas penjaga gol, Al-Hafiz Hamzah, selama setahun untuk memberi bimbingan kepada penjaga gol kami sebelum dilamar MSSN negeri Perlis pada tahun lepas.
"Bagi perancangan seterusnya, seorang lagi jurulatih penjaga gol KDA FC, Abdul Hadi Hamid, yang juga merupakan bekas pelajar KSAH kini berada dalam perancangan kami untuk membantu pasukan," katanya.
Jelas Mohd Firdaus, antara kejayaan yang telah dicapai oleh skuadnya pada tahun lalu adalah berjaya melangkah ke pentas final di Piala KTM Komuter 2024 pada November tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!