'Sekelip mata saya hilang dua anak serentak'
IPOH - Pilu hati seorang bapa melihat jasad kedua anaknya terbujur kaku selepas terlibat kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berhampiran persimpangan lampu isyarat, Jalan Pasir Puteh di sini pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 10.35 pagi itu, Nur Amira Balqis Armi, 22, yang juga seorang jurujual menunggang motosikal untuk menghantar adiknya, Tsa Muhammad Armirul, 15, ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet di sini.
Bapa, Armi Mustafa, 59, berkata, menjadi rutin harian Nur Amira Balqis menghantar awal adiknya ke sekolah untuk sesi pembelajaran pada petang.
"Rutin harian kami berjalan seperti biasa, tiada kelakuan pelik daripada mereka berdua, makan malam tadi pun tiada menunjukkan kelainan.
"Kebiasaannya kakak (panggilan untuk Nur Amira Balqis) akan hantar awal kerana dia perlu masuk kerja sebagai jurujual di kompleks membeli-belah berhampiran sekolah itu, mereka memang satu jalan," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Armi bertugas sebagai pembantu makmal sekolah terkejut mendengar berita kemalangan melibatkan anaknya itu selepas dihubungi oleh pihak polis sekitar jam 11 pagi.
"Polis minta saya pergi ke tempat kejadian dan dalam fikiran saya mengharapkan kakak dan Armirul hanya cedera ringan, tidak fikir apa-apa pun ketika itu.
"Tetapi apabila sampai sahaja, saya lihat jasad sudah masuk dalam beg polis. Saya tergamam dan saya pasrah keadaan itu," katanya.
Tambahnya, dua beradik itu amat rapat dan ke mana-mana sahaja akan berdua malah kakak sangat penyayang melayan kerenah adiknya itu.
"Hanya mereka berdua anak yang saya ada dan mereka berdua memang rapat terutama selepas kematian ibu kandung mereka 14 tahun lalu," katanya.
Jenazah kedua-dua beradik itu akan disembahyangkan di Masjid Imaniah, Taman Anggerik, Batu Gajah sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor.
Sinar Harian melaporkan dua beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam nahas dengan sebuah MPV di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Puteh di sini.
Polis memaklumkan tindakan MPV yang dipandu wanita berusia 38 tahun gagal mematuhi lampu isyarat dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut.
Insiden itu turut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How menerusi akaun Facebooknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!