Pengarah agensi antara lapan ditahan kes lulus lesen kenderaan perdagangan
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluas siasatan berhubung isu rasuah membabitkan pemeriksaan kenderaan perdagangan dengan menahan lapan individu pada Rabu.
Menurut sumber, tangkapan itu membabitkan pengarah sebuah agensi di bawah sebuah kementerian, selain tiga pengarah syarikat.
Sumber berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi berbeza di sekitar Melaka dan Lembah Klang menerusi Op Loader yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM sekitar jam 9 hingga 12 tengah hari.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.
"Syarikat-syarikat ini dipercayai telah bersekongkol dengan pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan.
"Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan menjalani Pemeriksaan Awalan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya pada Rabu.
Tambahnya, berdasarkan risikan SPRM, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat-syarikat yang ingin memperoleh Lesen Kenderaan Perdagangan ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kesemua suspek.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis bagi proses permohonan reman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!