58 syarikat antarabangsa intai pelaburan di Kedah
ALOR SETAR - Kedah terus menjadi pilihan pelabur antarabangsa apabila 58 syarikat dari luar negara sedang mengintai pelaburan di negeri itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia melibatkan pelaburan dalam sektor tenaga khususnya pembuatan bateri sepanjang tahun ini.
Menurutnya, kemasukan pelabur antarabangsa meningkat setiap tahun dan ini membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap Kedah semakin baik.
“Kehadiran 58 buah syarikat yang akan turut serta dalam pelaburan di negeri ini merupakan perkembangan positif.
“Pencapaian dalam pelaburan ini berlaku berturut- turut, bukan bermusim. Saban tahun ada peningkatan dan menunjukkan keyakinan besar pelabur khususnya dari negara yang menguasai dunia seperti China, Amerika Syarikat dan Jerman dalam bidang teknologi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan peruntukan 2024 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, rekod cemerlang Kedah diyakini akan terus melonjak selepas mencatatkan kedudukan ketiga tertinggi kemasukan pelaburan dalam negara pada tahun lepas sebanyak RM32 bilion.
“Pelabur memilih Kedah dengan keistimewaan yang kita tawarkan untuk mereka dirikan kilang dan melabur.
“Semua itu akan beri limpahan kepada rakyat dari segi ekonomi mahupun peluang kerja khusus kepada anak Kedah,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pemilihan Kedah sebagai destinasi pelaburan bergantung kepada beberapa faktor antaranya akauntabiliti, ketelusan, memiliki infrastruktur yang baik selain dapat menawarkan pekerja secukupnya.
“Politik letak tepi dulu, utamakan pembangunan untuk jaminan masa depan. Kita berjaya tawarkan banyak peluang kerja dan ekonomi, maka harus diberi lebih peluang dalam pentadbiran.
“Saya harap ia jadi pengukur kepada masyarakat walaupun Kedah bukan negeri kesayangan, namun ramai pelabur memilih negeri ini. Ia jelas menunjukkan pelabur antarabangsa bijak menilai destinasi pelaburan, bukan melihat dari parti politik mana,” katanya.
Muhammad Sanusi berharap sistem pendidikan berintegrasi dapat melahirkan lebih ramai insan berprestasi tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran pada masa hadapan.
“Ekonomi masa hadapan adalah kehidupan berprestasi tinggi selain penggunaan aplikasi teknologi tinggi yang berubah mengikut kemajuan pendidikan.
“Diharap sektor pendidikan negara dapat lahirkan ramai tenaga mahir berprestasi tinggi selari dengan kemajuan sains dan teknologi,” ujarnya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyampaikan replika cek bernilai RM150,000 kepada 17 SJKC dan empat SJKT di Kedah.
Sumbangan berkenaan merupakan peruntukan tahun 2024 berjumlah RM300,000 yang diagihkan kepada 41 buah sekolah terlibat.
“Sumbangan tersebut merupakan langkah berterusan kerajaan negeri dalam membantu sekolah-sekolah tersebut memperbaiki kemudahan dan prasarana serta memastikan pelajar dapat menikmati suasana pembelajaran selesa.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menjamin keseimbangan dalam penyediaan pendidikan yang adil dan saksama, serta memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum.
“Pendidikan adalah hak setiap anak Kedah, tidak kira bangsa, agama atau latar belakang. Saya akan pastikan tiada anak Kedah tercicir dalam pendidikan kerana ia jaminan untuk membina masyarakat mahupun negara yang lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!