Kerajaan tidak sembunyikan dokumen - Fahmi
PUTRAJAYA - Kerajaan tidak pernah menyembunyikan dokumen mengenai satu perintah yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau sebagai anggota Jemaah Menteri juga tidak pernah menerima, melihat atau dimaklumkan mengenai kewujudan dokumen berkenaan.
"Dokumen yang dimaksudkan itu sejujurnya tidak disorok. Saya sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak ada menerima, melihat atau dimaklumkan tentang dokumen terbabit, saya percaya perkara ini oleh sebab ia membabitkan Lembaga Pengampunan.
"Kita juga ambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diremit semula ke Mahkamah Tinggi. Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memperjudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya dalam sidang media Pasca-Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Ditanya sebab kerajaan mengambil masa lama untuk mengakui dokumen itu, Fahmi berkata: "Dalam hal ini kita berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.
"Seperti yang Perdana Menteri jawab di Parlimen sewaktu sesi Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), kita tertakluk kepada prinsip subjudis maka kita akur dan patuh kepada prinsip itu dan proses di mahkamah itu diteruskan,” katanya.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen mengenai satu perintah yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah kepada Mahkamah Tinggi, untuk perbicaraan mengenai meritnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!