Kabel tersangkut palang kren bukan milik TNB
BUKIT MERTAJAM - Kabel yang terjatuh selepas tersangkut pada palang sebuah lori kren hingga mengakibatkan kemalangan maut di Jalan Kulim, di sini bukan milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, lori berkenaan telah melanggar kabel telekomunikasi yang mana kabel tersebut bukan milik TNB.
"TNB merujuk satu rakaman kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori yang melanggar kabel di Pulau Pinang.
"TNB merakamkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa atas insiden yang mengakibatkan kemalangan jiwa seorang.
"Untuk makluman, lori berkenaan telah melanggar kabel telekomunikasi di mana kabel tersebut bukan milik TNB," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang penunggang motosikal maut dipercayai dilibas kabel yang tersangkut pada lori kren dalam kejadian di Jalan Kulim, di sini pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, penunggang motosikal yang datang dari arah Bukit Mertajam ke Kulim dikatakan tidak sempat mengelak kabel yang terjatuh selepas tersangkut pada palang kren.
Menurutnya, kabel tersebut terkena pada leher mangsa dan mengakibatkan motosikal yang ditungganginya terbabas.
Mangsa berusia 40-an itu mengalami cedera parah di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!