Malaysia jadi hab aeroangkasa

Industri pertahanan digalakkan membangunkan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat udara dalam negara agar menjadi hab aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.
Industri pertahanan digalakkan membangunkan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat udara dalam negara agar menjadi hab aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas Putih Pertahanan (KPP) menggalakkan industri pertahanan membangunkan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat udara dalam negara agar menjadi hab aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.

Dalam laporan setebal 104 muka surat itu, KPP mengesyorkan industri pertahanan memanfaatkan peluang yang ada dalam pasaran eksport.

“Keseluruhan perbelanjaan melibatkan pertahanan dalam kalangan negara ASEAN dianggarkan sekitar AS$30 bilion setahun.

“Kemajuan sains, teknologi dan industri pertahanan negara akan membuka peluang untuk Malaysia meneroka pasaran ASEAN,” menurut laporan tersebut.

Menurut laporan KPP lagi, sains, teknologi dan industri pertahanan merupakan komponen strategik dalam ekosistem pertahanan negara bagi mendokong tiga tonggak strategi pertahanan negara.

"Beberapa syarikat dalam industri pertahanan di Malaysia telah berjaya membangunkan keupayaan dan menjadikannya lebih berdaya saing dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih dan pembuatan. Keupayaan itu seterusnya memenuhi rantaian bekalan menurut keperluan daripada pengeluar peralatan asal.

“Sungguhpun berlaku kemajuan yang berterusan dalam industri pertahanan, kerajaan percaya masih terdapat ruang yang signifikan untuk penambahbaikan dan pertumbuhan.

“Visi jangka panjang kerajaan dalam konteks ini adalah membangunkan keupayaan pemain industri tempatan dalam bidang reka bentuk dan pengujian serta pembangunan pasaran domestik dan eksport untuk aset serta kelengkapan pertahanan yang canggih menggunakan teknologi terkini selaras dengan prinsip Aspirasi Keupayaan Berdikari,” menurut laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

KPP turut menambah, penekanan akan diberikan kepada keupayaan berdikari dalam bidang khusus termasuk menyediakan aset dan kelengkapan serta perkhidmatan kritikal seperti kelengkapan asas tempur untuk askar pintar dalam Angkatan Masa Hadapan.

Menurut laporan KPP, kelengkapan asas tempur merangkumi senjata kecil, peluru, sistem komunikasi elektronik, jaket kalis peluru, webbing, helmet balistik, pakaian tempur dan ‘rangsum’, selain turut melibatkan aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih aset serta kelengkapan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi yang berkaitan.

KPP yang bertajuk Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur dibentangkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Dewan Rakyat pada 2 Disember 2019 yang menyenaraikan lapan mesej utama bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN) supaya strategi dan keupayaannya seiring serta relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

KPP pertama kali dibentangkan kepada umum berbanding DPN sebelum ini yang lebih bersifat tertutup dan ia menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!