Kelindan maut, lori makanan ringan rempuh kren

Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan sebuah lori muatan makanan ringan dengan sebuah kren.
Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan sebuah lori muatan makanan ringan dengan sebuah kren.
A
A
A

DUNGUN - Seorang kelindan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa makanan ringan dengan kren di Kilometer (KM) 64 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Kuala Abang di sini pada petang Rabu.

Nahas berlaku kira-kira jam 5.21 petang itu menyebabkan mangsa, Mohammad Hairi Ismail, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori, Mohamad Azwan Mohd Hishammudin, 30, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Hino Rigid dipandu Mohamad Azwan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Paka.

Menurutnya, lori berkenaan yang berada di lorong kiri jalan secara tiba-tiba telah merempuh bahagian belakang sebelah kanan kren jenis Tadano.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan lori terbabit terbabas ke sebelah kiri bahu jalan manakala kontena muatan makanan ringan yang dibawa turut tercabut dari kepala lori dan merentangi jalan.

"Kelindan lori berasal dari Batu Pahat, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka, badan dan kaki manakala pemandu lori cedera pada bahagian kening.

"Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Maizura berkata, pemandu kren berusia 51 tahun dan seorang kelindan berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, pemandu kren, Baharudin Abdullah, 51, berkata, dia telah memberi isyarat untuk berhenti di bahu jalan sebelum tiba-tiba dirempuh lori berkenaan.

"Ketika sedang memandu, saya tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman akibat rempuhan lori itu dari arah belakang.

"Apabila keluar dari kenderaan, saya dapati kelindan lori itu tidak bergerak dan dipercayai telah meninggal dunia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!