Revolusi Harimau Malaya ke Piala Dunia

Skuad bola sepak negara sedang meniti fasa revolusi untuk meningkatkan taraf dan kualiti Harimau Malaya dengan sasaran utama sudah tentu untuk menguasai ASEAN, Asia dan ke Piala Dunia.
Skuad bola sepak negara sedang meniti fasa revolusi untuk meningkatkan taraf dan kualiti Harimau Malaya dengan sasaran utama sudah tentu untuk menguasai ASEAN, Asia dan ke Piala Dunia.
A
A
A

SKUAD bola sepak negara sedang meniti fasa revolusi untuk meningkatkan taraf dan kualiti Harimau Malaya dengan sasaran utama sudah tentu untuk menguasai ASEAN, Asia dan ke Piala Dunia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan beberapa individu penting yang akan mengisi struktur organisasi Harimau Malaya sekali gus menjadi penggerak awal kepada misi revolusi tersebut.

Bermula dengan pengenalan pengendali baharu Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski dari Australia dan bekas pengendali Kedah, Nafuzi Zain untuk mengemudi skuad bawah 23 tahun negara.

Selepas itu, jawatan paling penting iaitu Ketua Pegawai Eksekutif pasukan yang digalas oleh Rob Friend dari Kanada disusuli pelantikan Dr Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.

Melihatkan kepada resume individu yang telah diumumkan itu, ternyata mereka bukan calang-calang figura serta mempunyai aura tersendiri dalam pengurusan pasukan.

Namun, persoalan utama yang timbul adakah kehadiran mereka akan dapat memastikan pasukan negara meraih keputusan positif kerana yang menentukan kemenangan di atas padang adalah pemain itu sendiri.

Bermakna, adakah dengan revolusi ini, kita mampu untuk menyelesaikan perkara paling asas dalam bola sepak Malaysia iaitu melahirkan pemain yang bertaraf dunia?

Malah, masalah dalam saingan Liga Malaysia juga tampak memburukkan keadaan dengan isu paling utama tunggakan gaji pemain yang menyukarkan lagi hasrat melahirkan bintang dunia negara.

Artikel Berkaitan:

Mungkin ada yang menuding jari kepada kelab atau persatuan di peringkat negeri untuk melahirkan pemain yang bagus, namun puluhan tahun telah berlalu dan ia masih belum membuahkan hasil.

Pemain naturalisasi gred A

Mengambil contoh cara Indonesia, mereka menggunakan ‘jalan pintas’ dengan kehadiran ramai pemain warisan atau pemain naturalisasi berkualiti sehingga mereka mampu beraksi di Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Adakah kita juga mempunyai ramai pemain warisan berkualiti yang boleh dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya?

Baru-baru ini kecoh beberapa pemain dari luar negara yang dikaitkan sebagai calon pemain warisan gred A seperti Josh Brownhill dan Isaac Hayden, menafikan mereka mempunyai darah warisan pada ketika peminat sudah membayangkan mereka menyarung jersi negara.

Malunya bukan kepalang buat Malaysia kerana ketaasuban peminat dengan pemain warisan yang belum diketahui kesahihannya.

Perlu diakui untuk mencari pemain warisan gred A dan B atau lebih baik daripada pemain tempatan sangat sukar, dan jika ada sekali pun mungkin tidak ramai.

Ia juga mungkin memakan masa untuk dicari atau sukar meyakinkan mereka menyertai Harimau Malaya tatkala kita sudah perlu bersedia untuk menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac nanti.

Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada penambahan pemain warisan dalam pasukan Harimau Malaya diumumkan oleh FAM.

Tidak dapat tidak, kita kena terus mengharapkan ramai pemain warisan yang bagus boleh dipanggil mengisi beberapa posisi kritikal terutama dengan pemain warisan sedia ada sudah berada di penghujung karier.

Malah, ada pemain warisan yang berada dalam pasukan negara ketika ini juga boleh dikatakan sama taraf permainannya dengan pemain tempatan.

Bukan juga menidakkan keupayaan pemain tempatan, namun perlu diakui kualiti yang ada belum mampu untuk membawa negara ke pentas lebih tinggi.

Dalam tempoh sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun akan datang, kita akan terus memerlukan pemain warisan dalam pasukan kebangsaan dan dalam masa sama mendoakan lahirnya pemain tempatan berkualiti untuk kita layak ke Piala Dunia.

Mungkin terlalu awal bercakap mengenai Piala Dunia pada ketika kita masih di fasa awal revolusi, namun sasaran akhir itu perlu ditanam kukuh agar perancangan revolusi ini bukan hanya perjalanan sia-sia.

Jika tidak, buatlah revolusi apa pun, kalau kita tetap gagal melahirkan pemain berkualiti maka tiadalah Piala Dunia untuk Malaysia sampai bila-bila.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!