Tak boleh lagi acah-acah perlahan depan kamera AwAS lepas itu pecut
MENTERI Pengangkutan baru-baru ini umumkan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah di antara dua titik.
Menerusi kaedah baharu ini, purata kelajuan kenderaan akan dikira di antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.
Kalau kenderaan itu tiba kurang dari masa yang sepatutnya, maksudnya dia memecut dan ada harapan kena saman.
Dengan kata lain, pemandu tak boleh lagi acah-acah perlahan depan kamera tetapi pecut balik selepas itu.
Ikut pengalaman Merak Jalanan, memang ramai pemandu berperangai pijak semut tak mati ini bila lalu depan kereta peronda polis mahupun kamera AwAS.
Lebih-lebih lagi kalau mereka tahu di mana lokasi kamera itu dipasang.
Setakat Disember lalu, ada kira-kira 45 kamera AwAS yang diletakkan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 26 dipasang di lebuh raya. Ini termasuklah berhampiran Kilometer 204 lebuh raya PLUS di Melaka, tempat tujuh nyawa melayang akibat nahas gara-gara tayar lori tercabut, 23 Disember lalu.
Merak Jalanan harap sistem baharu itu dapat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya manakala pemandu menjadi lebih berdisiplin.
Sungguhpun begitu, alangkah baiknya jika sistem itu digunakan dahulu kepada sistem tol sedia ada kerana keluar masuk setiap kenderaan memang direkodkan.
Sebagai contoh, jarak di antara dua plaza tol di Terowong Menora iaitu Ipoh Utara dan Kuala Kangsar ialah 30 kilometer.
Jika purata kelajuan dibenarkan 110 kilometer sejam (kmj), kenderaan yang masuk di Ipoh Utara perlukan masa 16 minit untuk keluar di Kuala Kangsar. Kalau 14 minit sudah sampai, pemandu boleh disaman kerana dia sebenarnya memandu 130kmj!
Cara ini mungkin lebih berkesan, dan tak perlu buang duit untuk pasang kamera baharu di titik A dan B.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!