Apa itu virus HMPV yang merebak di China
CHINA sedang menyaksikan peningkatan jangkitan penafasan termasuk kes human metapneumovirus (HMPV) yang membawa gejala seperti selesema di tengah-tengah musim sejuk di seluruh wilayah utara dengan mangsanya terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 14 tahun, lapor Channel News Asia (CNA).
Tanpa mengeluarkan angka, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China pada 2 Januari melaporkan peningkatan corak keseluruhan penyakit pernafasan yang direkodkan antara 23 Disember hingga 29 Disember lalu.
Katanya, ia susulan kenaikan dalam jumlah kes dilaporkan pada minggu 16 hingga 22 Disember.
Mereka turut mengumumkan usaha merintis sistem pemantuan bagi 'penyakit radang paru-paru yang tidak diketahui sumbernya' iaitu termasuk melakarkan protokol untuk makmal dan agensi-agensi kawalan penyakit mengenal pasti dan mengendalikan kes-kes itu.
Gambar dan video tular di laman media sosial China menunjukkan orang ramai berkumpul dan beratur panjang di hospital, klinik dan pusat perubatan.
CDC menambah, China berada dalam musim 'berpenyakit' berkaitan pernafasan peringkat tertinggi, sambil mengingatkan orang ramai mengambil langkah perlindungan seperti memakai pelitup muka dan mengikuti perkembangan terkini mengenai vaksinasi dan mengamalkan kebersihan yang betul.
APAKAH HMPV?
HMPV adalah penyakit berkaitan pernafasan dengan gelaja sama dengan selesema.
Ia termasuk batuk, demam, hidung tersumbat dan sesak nafas.
Dalam kes teruk ia boleh membawa kepada komplikasi seperti radang paru-paru atau bronkitis.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, HMPV boleh menyebabkan penyakit pernafasan pada semua peringkat umur, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, orang dewasa yang lebih tua dan orang yang menghadapi masalah sistem imun lemah.
Katanya, anggaran tempoh inkubasi bagi penyakit itu adalah antara tiga hingga enam hari.
CDC AS menambah, virus ini paling aktif semasa penghujung musim sejuk dan musim bunga dalam iklim sederhana.
Mirip penyakit pernafasan lain seperti Covid-19 dan selesema, virus HMPV merebak melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti, titisan cecair daripada bersin dan batuk dan sentuhan pada objek atau permukaan yang mempunyai virus tersebut.
MENGAPA KES MENINGKAT?
Pakar penyakit berjangkit memberitahu CNA bahawa peningkatan kes di China adalah 'konsisten dengan corak global', di mana bilangannya meningkat pada penghujung musim sejuk.
Lonjakan berlaku bertepatan dengan cuaca sejuk di China selain suhu rendah dijangka berterusan sehingga Mac depan.
Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi menggolongkan HMPV sebagai kecemasan kesihatan global namun beberapa negara di benua Asia di tahap berjaga-jaga dan sedang memantau jumlah kes serta menggesa orang ramai supaya berwaspada dan menjaga kebersihan.
Di Asia Tenggara, negara-negara seperti Malaysia, Kemboja dan Vietnam telah mengeluarkan makluman kesihatan awam.
Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 327 kes HMPV pada 2024, iaitu kenaikan 45 peratus daripada 225 kes pada 2023.
Pada Ahad, Vietnam mengumumkan ia sedang memantau situasi di tengah-tengah penularan 'virus radang paru-paru dalam kalangan manusia' di tanah besar China. Di Singapura, HMPV sudah lama dikenal pasti.
BEZA HMPV DAN COVID-19
Pakar kesihatan awam telah mencatatkan perbezaan ketara antara kedua-dua virus, dengan HMPV umumnya kurang teruk dengan kadar kematian yang lebih rendah.
Bagaimanapun, HMPV berjangkit secara meluas dalam kalangan kanak-kanak kecil berbanding Covid-19. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!