1MDB: Pendirian PN tidak berubah
SHAH ALAM - Kehadiran pemimpin Perikatan Nasional ketika Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan Istana Kehakiman pada Isnin tidak pernah menukar pendirian mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya konsisten mendesak akauntabiliti dalam skandal yang digambarkan sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.
Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengkritik paling lantang dalam isu berkenaan dan beliau juga menggesa perbicaraan adil dan saksama kepada mereka yang terbabit dengan skandal itu.
“Kehadiran pemimpin PN di Istana Kehakiman adalah kerana isu titah diraja yang didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah adalah perkara kepentingan awam.
“Ia dibahaskan di Parlimen. Tambahan pula, kerajaan telah berdolak-dalik hampir setahun mengenai kewujudanannya. Kehadiran kami didorong oleh keprihatinan yang lebih luas terhadap kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan kehadiran pemimpin PN ke Mahkamah Rayuan bertujuan untuk mengetahui sama ada Titah Adendum berkaitan tahanan di rumah membabitkan Najib, benar-benar wujud atau sebaliknya.
Hamzah memaklumkan, beliau dan rakan seperjuangan dalam PN berbuat demikian selepas dimaklumkan bahawa memang wujud Titah Adendum berkaitan kes bekas Presiden UMNO terbabit.
Antara pemimpin PN yang hadir ialah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, himpunan oleh pemimpin pembangkang itu tiada kaitan dengan Najib sebagai ahli politik UMNO tetapi lebih kepada nasibnya dan usaha menuntut kerajaan bertanggungjawab atas ketidakjujuran dalam menguruskan isu tersebut.
Justeru, beliau menegaskan pendirian PN adalah berkisar pada prinsip keadilan dan menjunjung institusi diraja.
“Seseorang berhak mendapat pengampunan seperti mana yang pernah diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 (Perdana Menteri sekarang), mengikut undang-undang negara ini,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!