Lebih 80 peratus pesakit dijangkiti hanya alami penyakit ringan

Laporan terbaharu dikeluarkan CCDC mendapati hanya 14 peratus akan mengalami penyakit serius seperti pneumonia. Gambar kecil:Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Laporan terbaharu dikeluarkan CCDC mendapati hanya 14 peratus akan mengalami penyakit serius seperti pneumonia. Gambar kecil:Tedros Adhanom Ghebreyesus.
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mendakwa koronavirus (Covid-19) hanya menyebabkan penyakit ringan terhadap lebih 80 peratus pesakit dijangkiti atau empat daripada lima pesakit yang didiagnos positif.

Ketua agensi itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Covid-19 tidak seteruk koronavirus lain termasuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

"Hanya 14 peratus akan mengalami penyakit serius seperti pneumonia atau radang paru-paru. Kira-kira lima peratus daripada kes terbabit dianggap kritikal melibatkan masalah kegagalan organ, kejutan septik dan kegagalan pernafasan serta berlaku kematian dalam beberapa kes. Kes kematian pula hanya dua peratus," jelasnya.

Menurutnya, kes jangkitan melibatkan kanak-kanak pula tidak banyak dilaporkan dan kajian lebih terperinci perlu dilakukan untuk memahami keadaan tersebut.

Ghebreyesus memaklumkan data dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDC) tersebut telah memberi gambaran lebih jelas tentang wabak tersebut yang pertama kali dikenal pasti di Wuhan pada akhir Disember lalu.

Beliau juga menggesa pihak berkaitan mentafsir maklumat perkembangan kes itu secara berhati-hati ketika mengulas tentang penurunan jumlah kes baharu Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

"Trend boleh berubah apabila ada populasi baharu yang dijangkiti. Masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada penurunan kes itu akan berterusan. Segala senario masih perlu dinilai," tambahnya. - AFP

INFO:

Artikel Berkaitan:

> Data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDC) mendapati individu yang sakit, warga emas dan kakitangan perubatan paling berisiko dijangkiti Covid-19.

>Laporan kajian oleh CCDC itu diterbitkan Jurnal Epidemiologi itu meninjau lebih 44,000 kes disahkan sehingga 11 Februari lalu.

>Berdasarkan nisbah jantina, lelaki lebih berisiko meninggal dunia dengan 2.8 peratus berbanding wanita 1.7 peratus.

>Kajian itu juga meletakkan jenis penyakit yang meletakkan pesakit berisiko. Penyakit pertama paling berisiko adalah kardiovaskular, disusuli diabetes, penyakit pernafasan kronik dan hipertensi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!