Maskot VM2026 disangka janaan AI, bukti pelukis tempatan kekal ‘berbisa’
BARU-BARU ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan memperkenalkan lagu tema, maskot dan logo bagi acara tersebut.
Antara yang menarik perhatian adalah maskot VM2026 iaitu Beruang Matahari Malaya yang tergolong dalam spesies terancam.
Bagaimanapun, pemilihan MOTAC dengan menjadikan haiwan berkenaan sebagai maskot dilihat sebagai satu langkah yang bijak kerana ia menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar.
Pun begitu, bukan hal ini yang mahu dibicarakan tetapi ilustrasi Beruang Matahari Malaya dalam iklan bagi kempen VM2026 kini menjadi perdebatan di media sosial ekoran dikhuatiri dilakukan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ini kerana sebaik sahaja peluncuran Kempen VM2026 yang berlangsung pada Isnin lalu, pelbagai maklum balas diterima berkenaan lagu tema, logo termasuklah maskot.
Ada dalam kalangan pengguna media sosial yang membangkitkan persoalan sehingga menimbulkan keraguan akan kredibiliti MOTAC menghasilkan logo serta ilustrasi maskot berkenaan.
Bukan itu sahaja, ada yang bertindak untuk ‘bertanya’ pada AI sama ada ilustrasi Beruang Matahari Malaya dihasilkan oleh teknologi berkenaan.
Setelah perbualan mengenai ilustrasi itu hangat dibicarakan, akhirnya anak kepada pelukis berkenaan tampil mempertahankan karya bapanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Sebagai bukti, dia turut menyertakan tangkap layar perbualan bersama bapanya berkaitan sebahagian proses penghasilan awal rekaan tersebut, termasuk beberapa lakaran di aplikasi WhatsApp.
Melihat kepada situasi ini, ia membangkitkan persoalan kepada penulis tentang sejauh manakah AI boleh menggugat kredibiliti dan ‘periuk nasi’ pelukis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!