Projek rumah SMJ di DUN Sukau terbengkalai, hanya enam unit siap
KINABATANGAN - Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan kecewa apabila masih banyak rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau terbengkalai pembinaannya.
Ketua Pemudanya, Mohd Kurniawan Naim Moktar mendakwa, hanya enam rumah mesra SMJ di kawasan DUN Sukau berjaya disiapkan pada tahun lalu.
Menurutnya, daripada 30 unit jumlah keseluruhan rumah mesra SMJ yang diperuntukkan terdapat 24 unit lagi masih belum dimulakan projek pembinaan dipercayai akibat masalah kontraktor.
"Lebih mengecewakan, kontrak pembinaan telah dilanjutkan sebanyak tiga kali dan dijadualkan tamat pada Februari 2025.
"Namun, tiada kerja-kerja pembinaan dimulakan, sebaliknya rakyat diminta menanggung kos meluaskan tapak pembinaan yang menelan belanja ribuan ringgit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Kurniawan yang juga anak kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata lagi, jika kontraktor yang dilantik masih gagal menyelesaikan projek berkenaan dalam tempoh lanjutan terakhir, beliau akan membuat laporan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya beri tempoh sehingga tamatnya kontrak lanjutan kali ketiga ini, jika masih gagal, saya sendiri akan turun naik Pejabat SPRM untuk memastikan pihak bertanggungjawab diadili," tegasnya.
Kurniawan dalam pada itu turut mengajak Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sukau untuk bersama-sama membuat laporan tersebut di SPRM sekiranya yakin tiada penyelewengan berlaku.
"Sebagai pemimpin, kita perlu bertindak berani dan telus. Jangan banyak bercakap tetapi tiada hasil dan rakyat di Sukau ini tidak patut terus dianiaya,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak berkaitan supaya segera tampil memberikan penjelasan mengenai perkara itu dan menyelesaikan masalah ini demi kesejahteraan masyarakat di DUN Sukau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!