Tunjuk perasaan di Korea Selatan ibarat karnival
BERMULA sebagai percutian solo selama seminggu di Korea Selatan pada Disember lalu, wartawan Bernama Soon Li Wei 'terjebak' dalam protes jalanan susulan penguatkuasaan undang-undang tentera yang diisytiharkan oleh Yoon Suk Yeol, presiden republik itu yang kini digantung tugas. Pengalaman tersebut dikongsikan oleh beliau dalam artikel ini.
GYEONGJU - Selepas tiga jam perjalanan dengan menaiki bas dari Seoul, saya tiba di Gyeongju, sebuah bandar lama yang indah di tenggara Korea Selatan, pada petang 14 Disember lalu.
Tidak sabar untuk memulakan pengembaraan, saya merujuk aplikasi Naver (platform dalam talian tempatan yang turut meliputi enjin carian dan peta) untuk ke tempat penginapan, iaitu kira-kira 25 minit berjalan kaki dari terminal bas ekspres Gyeongju.
Menapak sambil menikmati kedamaian suasana bandar, sayup-sayup telinga saya terdengar sesuatu.
Hanya selepas menghampiri arah bunyi itu baru saya sedari protes jalanan sedang berlangsung.
Saya tidak terkejut kerana saya tahu Parlimen Korea Selatan dalam proses pengundian untuk memecat Presidennya, Yoon Suk Yeol pada hari berkenaan.
Kelihatan beberapa buah kenderaan polis diletakkan berhampiran Gyeongju Royal Tomb of King Naemul, mercu tanda terkenal di sini, di mana penunjuk perasaan mula berkumpul sejak awal hari lagi. Mereka melaungkan slogan sambil mengangkat sepanduk biru-merah yang tertera mesej dalam tulisan Hangul, iaitu karakter bahasa Korea.
Ingin tahu mesej yang disampaikan, saya halakan lensa kamera telefon pintar ke arah tulisan terbabit bagi menterjemah maksudnya menggunakan aplikasi Google Translate.
Seorang daripada penunjuk perasaan yang saya dekati, memberitahu dalam bahasa Inggeris yang pekat sebutannya bahawa mesej utama mereka pada hari itu ialah: "Presiden Yoon sila letak jawatan!” Memandangkan saya memang sukakan suasana seperti karnival berkenaan, saya memutuskan untuk menyertai "kemeriahan” tersebut.
Suasana K-Pop
Sejujurnya, di peringkat awal saya berasa agak risau tentang percutian ini, kerana saya bimbang ketidakstabilan politik yang sedang berlaku itu akan merosakkan pengembaraan dan rancangan saya untuk berjumpa dengan teman sejawatan Jeong Soo, seorang wartawan di sebuah akhbar harian tempatan.
Malah, keluarga saya juga menasihati saya agar membatalkan percutian selepas media antarabangsa melaporkan krisis politik itu menjejaskan industri pelancongan Korea Selatan.
Akan tetapi, perasaan ingin tahu saya membuak-buak selepas membaca laporan media tentang suasana protes yang tidak ubah seperti konsert K-pop dengan lagu-lagu rancak dimainkan, selain majoriti penunjuk perasaan merupakan golongan muda yang sanggup mengharungi kedinginan musim sejuk.
Saya ambil keputusan untuk melihat sendiri suasana itu.
Berbalik kepada protes di Gyeongju Royal Tomb of King Naemul yang bagi saya tidak ubah seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
Saya menghantar mesej berserta beberapa rakaman video kepada Jeong Soo yang berada di Seoul.
Katanya, mereka sedang menunggu keputusan pengundian sama ada Yoon akan dipecat ataupun tidak.
Jam menunjukkan 4 petang dan sejuknya menusuk ke tulang.
Di sini, suhu musim sejuk boleh jatuh serendah -3° Celsius.
Tangan saya hampir kebas setiap kali saya menanggalkan sarung tangan untuk merakam gambar.
Di sebelah kiri di depan kumpulan penunjuk perasaan itu, satu layar besar memaparkan siaran langsung dari bangunan Parlimen di Seoul.
Di sebelah kanan pula ada pentas, di mana individu tertentu berucap.
Masa terus berlalu dan jumlah penunjuk perasaan juga semakin bertambah, melimpahi kawasan lapang di situ.
Semua mata tertumpu pada siaran langsung. Di tengah-tengah ribuan orang muda itu, kelihatan golongan agak berusia yang hadir sebagai 'plakad hidup', melaungkan slogan dengan penuh semangat sambil mengangkat sepanduk yang barangkali turut mendesak presiden meletak jawatan.
Tidak lama kemudian, kumpulan penunjuk perasaan itu bersorak gembira apabila layar besar tersebut memaparkan berita tentang pemecatan presiden.
(Kuasa Yoon sebagai presiden seterusnya digantung, dan menurut Jeong Soo, beliau akan disingkirkan jika usul pemecatan itu diluluskan oleh Mahkamah Perlembagaan yang mempunyai tempoh 180 hari untuk membuat keputusan. Perdana Menteri Han Duck Soo dilantik sebagai pemangku presiden. Bagaimanapun pada 27 Dis lalu, Parlimen Korea Selatan mengundi untuk memecat pemangku presiden itu, sekali gus melanjutkan krisis kepimpinan negara berkenaan.)
Minuman dan snek
Ketika ini, jumlah yang berhimpun semakin ramai, dan ditambah dengan kehadiran mereka yang datang mengagihkan pek pemanas badan, minuman serta makanan ringan, tapak protes tersebut tidak ubah seperti sebuah karnival.
Saya pernah terbaca bagaimana warga Korea Selatan menjaga antara satu sama lain ketika protes pada musim sejuk agar tidak ada yang kesejukan, namun saya tidak menyangka dapat mengalami sendiri situasi itu.
Perhimpunan berlangsung dalam bahasa Korea - sepatah pun saya tidak faham - namun semangat berkobar-kobar dan keterujaan yang mereka tunjukkan turut menjangkiti saya.
Ketika dihulurkan pek pemanas badan dan secawan teh panas oleh seorang anak muda, saya ucapkan 'Chukgahaeyo' (tahniah dalam bahasa Korea).
Wajahnya terus ceria dan berterima kasih dalam bahasa Korea.
Namun, apabila mendengar saya membalas 'Thank you', dia menjawab dalam bahasa Inggeris, "Kamu pun tahu tentang isu ini... walaupun di luar Korea Selatan?” Saya tersenyum dan menjawab, "Ya, saya memang mengikuti perkembangan isu ini.”
Terdahulu, ketika proses pengundian sedang berlangsung, penunjuk perasaan melaungkan sajak-sajak yang bersifat mengejek serta menyanyikan lagu Krismas dan K-pop sambil memegang 'light stick', menerangi suasana senja.
Matahari mula terbenam ketika jam menunjukkan 5 petang.
Apabila skrin memaparkan video muzik lagu ‘Into the New World’ nyanyian Girls Generation, semangat kumpulan penunjuk perasaan semakin membara dan bersama-sama menyanyikan lagu itu. Buat seketika, saya berasa seolah-olah berada di sebuah konsert di kawasan terbuka.
Menurut penduduk tempatan, lagu itu sering digunakan sebagai alat protes dan menjadi lagu utama perarakan tahunan golongan LGBTQ negara berkenaan sejak 2016.
Hari semakin gelap dan perhimpunan itu berakhir pada 7 malam.
Saya agak terperanjat kerana tidak ada secebis sampah pun yang kelihatan tatkala penunjuk perasaan beransur-ansur meninggalkan kawasan itu.
Saya benar-benar kagum dengan sikap bertanggungjawab dan semangat sepasukan mereka.
Protes hujung minggu
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya selaku pelancong di Korea Selatan dari 13 hingga 21 Disember, tidak ada keganasan ataupun ancaman kepada keselamatan awam dalam tunjuk perasaan di negara itu.
Malah, protes yang diadakan hanya mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyatnya.
Pakar antarabudaya Korea dan penterjemah Korea-Inggeris, Jane Kim Jihye berkata, kegiatan tunjuk perasaan di negaranya sudah berubah.
"Tempat protes yang dahulunya dikaitkan dengan ketakutan dan potensi berlaku keganasan, sudah bertukar menjadi platform untuk menyuarakan pandangan kolektif, mencerminkan anjakan dalam masyarakat Korea Selatan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.
Malah katanya, beliau turut mengizinkan anak perempuannya, seorang pelajar menengah rendah, menyertai protes bersama-sama dengan rakan semasa hujung minggu, bagi meraih pengalaman dan memahami perasaan menjadi sebahagian daripada aktiviti berkenaan.
"Yang paling menarik perhatian saya ialah bagaimana protes berkembang seiring dengan masa. Bagi anak saya, protes bukan lagi acara berbahaya atau mengancam keselamatan,” katanya, menambah bahawa protes pada bulan lepas menjadi acara tumpuan orang ramai pada hujung minggu.
Kim berkata, pada zaman dahulu, protes selalunya dikaitkan dengan bahaya kerana adakala melibatkan bom molotov dan gas pemedih mata.
Menurutnya, perubahan dalam budaya protes di Korea Selatan dapat dilihat semasa tunjuk perasaan mendesak pemecatan bekas Presiden Park Geun-hye pada 2016-2017, yang dicetuskan oleh skandal rasuah.
"Ketika 2016-2017, perhimpunan berlangsung secara aman dengan peserta membersihkan kawasan selepas program tamat dan menarik perhatian antarabangsa.
"Protes terbabit, yang lebih kepada meluahkan rasa marah dari segi moral terhadap (dakwaan) penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan, menunjukkan perubahan bagaimana Korea Selatan dan negara asing melihat tunjuk perasaan itu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!