Prabowo lawat Malaysia hari ini
SHAH ALAM - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada Khamis.
Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan, ia merupakan lawatan kerja pertama ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden pada Oktober 2024.
Menurut Wisma Putra, dalam lawatan itu, Prabowo akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
“Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau serta menangani cabaran global,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Pada masa sama, Wisma Putra memberitahu bahawa Anwar akan turut meraikan Prabowo dalam satu jamuan makan tengah hari tertutup.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!