Dua lelaki maut motosikal bertembung
KOTA BHARU - Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Batu Hitam Kampung Batang Bergedik pada Rabu malam.
Kejadian pada jam 8.30 malam itu melibatkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 18 dan 45 tahun.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, mangsa berusia berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pemandu jentera disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, mangsa berusia 18 tahun yang juga seorang penganggur meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa berusia 18 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Gual Ipoh menghala ke Kampung Peralla.
Jelas beliau, sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa berusia 45 tahun itu.
"Mangsa terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Peralla ke Gual Ipoh.
"Sementara itu, seorang penunggang motosikal Modenas Kriss yang berada di belakang motosikal lelaki berusia 45 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa berusia 18 tahun yang ketika itu terjatuh di atas jalan raya," katanya.
Tambah beliau, akibat kemalangan itu, dua daripada mereka meninggal dunia manakala penunggang motosikal Modenas Kriss mengalami cedera ringan.
"Mangsa yang maut di hantar ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat manakala lelaki yang cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Gual Ipoh," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Mohd Sulaiman di talian 013-3533653.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!