Kes Puspakom: SPRM tahan 13 lagi pemeriksa kenderaan

SPRM menahan 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara. Gambar hiasan
SPRM menahan 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an ditahan antara jam 1 hingga 2 petang pada Selasa dan 10 pagi hingga 3 petang pada Rabu.

Sumber berkata, mereka ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada 'runner' sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas.

"Penahanan kesemua suspek adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini," katanya pada Khamis.

Sehingga hari ini, kata sumber, SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang 'runner'.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun tambah beliau, kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan pada Selasa dan Rabu akan dilepaskan dengan jaminan SPRM, selepas keterangan diambil.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!