Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung di Sungai Damansara
SHAH ALAM - Polis menemui mayat seorang lelaki tanpa identiti dalam keadaan terapung di Sungai Damansara pada jam 11.14 pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian terbabit pada jam 11.14 pagi daripada orang awam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki, namun identiti tidak diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat.
"Si mati yang dijumpai berada dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt merah hitam berlengan pendek dan hanya memakai seluar panjang berwarna gelap.
"Selain itu, tiada kesan suntikan BCG pada bahagian bahu kiri si mati.
"Pemeriksaan ke atas badan si mati mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menjalani bedah siasat pada Khamis, jam 10.00 pagi bagi mengenal pasti punca kematian.
Tambahnya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Amzar Mohamad Shuffie di talian 013-6666657
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!