Van Dijk berang keputusan pengadil
KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk kecewa dengan keputusan pengadil, Stuart Attwell yang didakwa gagal membuat keputusan tepat pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Tottenham Hotspur pada Khamis.
Van Dijk berkata, dia telah memaklumkan kepada Attwell bahawa pengadil itu telah melakukan kesilapan yang ketara dengan tidak melayangkan kad kuning kedua buat penjaring gol kemenangan Spurs, Lucas Bergvall.
Bergvall yang berusia 18 tahun memecah kebuntuan pada minit ke-86 apabila menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan.
Dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya ketika meraikannya bersama penonton tuan rumah, tetapi kemenangan itu diwarnai dengan kontroversi.
Sebelum jaringannya, Bergvall sudah menerima kad kuning pada minit ke-68 kerana melakukan terjahan ke atas Luis Diaz.
Penyokong Liverpool berang apabila Bergvall terlepas hukuman dibuang padang kerana mengasari Kostas Tsimikas sebelum pemain Spurs itu meledak gol kemenangan pasukan.
"Ia agak jelas bahawa sepatutnya menjadi kad kuning kedua. Kebetulan, hanya seminit kemudian, dia menjaringkan gol kemenangan. Saya memberitahu pengadil dia melakukan kesilapan.
"Dia mungkin tidak melihatnya seperti itu, tetapi ia jelas kepada orang lain di sini. Tanpa ragu-ragu, ia sepatutnya kad kuning kedua.
"Hakikatnya dia sepatutnya dibuang padang. Kami mempunyai penjaga garisan, pegawai keempat, VAR, dan pengadil, namun dia tidak mendapat kad kuning kedua. Saya tidak mengatakan itu sebab kami kalah, tetapi ia adalah detik penting dalam perlawanan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!