Jurulatih Spurs puas dapat jinakkan Liverpool
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou memuji prestasi luar biasa para pemainnya terutama pemain muda ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas Liverpool dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga pada Khamis.
Setelah dibelasah 6-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini, Spurs bangkit untuk membalas dendam dan mempamerkan persembahan matang untuk membawa bekalan satu gol ke Anfield dalam aksi timbal balik bulan depan.
Postecoglou mengakui ia kemenangan yang bermakna apatah lagi dia kehilangan ramai pemain sehingga perlu menggunakan ramai pemain muda dalam kesebelasan utama.
"Saya tidak fikir orang ramai benar-benar memahami tahap prestasi yang kami lihat daripada pemain muda ini dan apa yang mereka berikan kepada kami sekarang.
"Kami menurunkan pemain pertahanan tengah berusia 18 tahun yang bermain bukan di posisinya, penjaga gol pada penampilan sulung dan Djed Spence yang bermain sebagai bek kiri dengan sangat baik.
"Lucas Bergvall pula berkembang dengan sangat baik. Dia mempunyai keupayaan itu sebagai pemain bola sepak untuk mencipta ruang untuk dirinya sendiri," katanya.
Bergvall menjadi wira Spurs untuk meledak gol kemenangan pada minit ke-86 biarpun jaringan itu dianggap sebagai kontroversi selepas pemain muda itu sepatutnya dilayangkan kad kuning kedua sebelum gol tersebut terhasil.
Keputusan di Stadium Tottenham Hotspur itu menyaksikan rekod 24 perlawanan tanpa kalah Liverpool lebur di tangan Spurs.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!