'Kami berharap abah segera ditemui' - Anak

Roslina sekeluarga masih berharap keajaiban berlaku agar bapanya itu segera ditemui.
Roslina sekeluarga masih berharap keajaiban berlaku agar bapanya itu segera ditemui.
A
A
A

REMBAU - Ahli keluarga lelaki warga emas yang dilaporkan hilang pada Disember tahun lalu selepas keluar dari rumahnya di Batu 4, Kampung Air Melintang di sini masih mengharapkan keajaiban berlaku agar bapa mereka itu segera ditemui.

Anaknya, Roslina Mohd Mahat, 39 berkata, mereka sekeluarga akur dan reda apabila usaha pencarian menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Mohd Mahat Said, 78, berakhir selepas empat hari misi itu tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Ada juga pengamal perubatan tradisional datang untuk membantu, namun usaha berkenaan juga menemui jalan buntu, namun kami berharap abah segera ditemui sebab kami bimbang akan kesihatan dan keselamatannya.

“Keadaan mak pula setakat ini stabil, kami tidak putus berdoa dan kami adik-beradik banyak bagi sokongan kepada mak walaupun pelbagai ujian sepanjang tempoh ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bekas tentera berkenaan dilapor keluar rumah jam 10 pagi pada 16 Disember 2024, namun sehingga jam 5 petang kelibatnya masih tidak kelihatan.

Mohd Mahat merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal yang mana kedua-dua belah kakinya tidak dapat bergerak kesan daripada kemalangan pada 2002.

Dalam pada itu, Roslina berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bapanya itu diminta menghubunginya di talian 012-6035785 susulan kehilangan bapanya sudah memasuki hari ke 25.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed sebelum ini berkata, walaupun operasi SAR dihentikan siasatan masih diteruskan di bawah kes orang hilang.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga emas ini diminta tampil ke balai polis berhampiran.

"Boleh juga disalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999 atau Balai Polis Kota di talian 06- 4381622," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!