Sanggup buat laporan palsu gara-gara terdesak mahu beli alat kosmetik
SANDAKAN - Dua suri rumah sanggup membuat laporan palsu bahawa mereka disamun menggunakan pisau dan telefon bimbit dicuri gara-gara terdesak mahu membeli barangan kosmetik.
Bagaimanapun, tindakan dua wanita masing-masing berusia 34 tahun dan 20 tahun itu akhirnya terbongkar selepas siasatan lanjut dilakukan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.05 tengah hari Rabu.
"Seorang pengadu warga tempatan bersama rakannya membuat laporan telah menjadi mangsa samun.
"Dalam kejadian itu, dua telefon bimbit mereka dan wang berjumlah RM136 didakwa dilarikan tiga suspek yang bersenjatakan pisau pada jam 7 malam pada hari sebelumnya, di Bandar Sandakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan mendapati keterangan yang diberikan pengadu dan rakannya tidak konsisten dan diragui.
"Siasatan lanjut mendapati kejadian samun didakwa tidak berlaku sebaliknya, pengadu dan rakannya menggadaikan telefon bimbit mereka di kedai pajak.
"Kedua-dua pengadu yang juga suri rumah bertindak sedemikian kerana terdesak memerlukan duit untuk membeli barang kosmetik namun bimbang dimarahi oleh suami masing-masing," katanya.
Abdul Fuad berkata, susulan daripada itu, kedua-dua suri rumah tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.
Abdul Fuad dalam pada itu turut menasihatkan orang awam tidak bertindak sedemikian kerana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!