Malaysia mulakan 2025 tingkat kerjasama dengan negara serantau - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memulakan tahun 2025 sebagai Pengerusi ASEAN dengan mengukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa, menerusi lawatan pemimpin negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia serta Jepun ke Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Kepengerusian ASEAN merupakan satu kesempatan untuk membina kekuatan bersama rangkaian ASEAN yang akan turut memberi manfaat kepada Malaysia bersama rakan-rakan serantau.

"Ini yang kita tekankan bersama Perdana Menteri Singapura, tidak menganggap kekuatan harus di Malaysia dan yang lain dipinggirkan atau kekuatan di Thailand dan yang lain dipinggirkan.

"Sebaliknya mencari jalan dan kaedah menyelesaikan dan membincangkan isu-isu yang merumitkan kita, termasuk Myanmar kerana prasyarat utama untuk mengangkat kekuatan ekonomi, keamanan, kestabilan politik (adalah) melalui dasar yang jelas, dasar ekonomi yang dapat memangkin kekuatan melalui penglibatan sektor swasta dan kecekapan sektor awam," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM), di sini pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Anwar berkata, semasa lawatan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Isnin dan Selasa lepas, kedua-dua pemimpin telah melancarkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan menjadi fokus kekuatan bagi Johor dan Singapura serta persekitarannya.

Perdana Menteri berkata, lawatan kerja Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Khamis pula akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

"Antaranya kerjasama dengan sektor-sektor utama Indonesia dan Khazanah (Nasional Berhad) serta syarikat-syarikat utama Malaysia, termasuk dalam bidang digital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba pula akan tiba di Malaysia pada Jumaat bagi membincangkan beberapa isu pelaburan, perdagangan dan peralihan tenaga, termasuk rancangan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau Asia Tenggara.

Anwar berkata, Disember lepas, beliau turut mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra di Langkawi bagi membincangkan kerja-kerja sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.

Anwar berkata, perbincangan dengan Thaksin turut menyentuh mengenai kerjasama dengan Thailand dan negara-negara Indochina termasuk dalam bidang mikrocip, semikonduktor dan blockchain yang merupakan antara bidang yang harus diterokai oleh Malaysia.

Mengenai FEM, Perdana Menteri berkata, forum itu memberi ruang untuk mencari jalan mengangkat kekuatan ekonomi negara dan membincangkan bidang-bidang baharu serta turut mengambil contoh industri semikonduktor di Pulau Pinang.

"Walaupun industri semikonduktor di Pulau Pinang itu agak lama, tetapi kalau tidak sedia untuk meneroka bidang baharu, kita akan ketinggalan dan kita harus bina kekuatan yang menyeluruh," katanya.

Selain itu, Anwar menyeru semua pihak agar menjalinkan kerjasama dan fokus kepada kerja masing-masing serta tidak berbicara hal-hal remeh yang hanya akan melemahkan dan mengancam kekuatan negara.

Malaysia perkukuh pemusatan geografi tahun ini - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia pada tahun ini akan memperkukuh aspek pemusatan geografinya sebagai platform bagi tenaga elektrik, bakat dan pempelbagaian rantaian bekalan.

Beliau yang merujuk kepada Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, termasuk sambungan Sarawak-Semenanjung Malaysia melalui kabel bawah laut berkata, ia adalah bidang hebat dalam usaha memajukan ASEAN sebagai kuasa yang padu dan grid tenaga serantau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia turut berhasrat menambah baik kepakaran dalam sektor minyak dan gas, semikonduktor dan kewangan Islam.

"Oleh itu, kita boleh menjadi peneraju pasaran global dalam setiap bidang. Ini adalah sikap keberkecualian dan keterbukaan kita untuk perkongsian yang menjadikan kita hab semula jadi untuk semua,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, memandangkan kuasa besar melepaskan tanggungjawab mereka, membina tembok proteksionisme dan cenderung ke arah pengasingan ekonomi di samping menekankan kepentingan order ekonomi dunia berasaskan peraturan, Malaysia melihatnya sebagai satu peluang.

"Ini adalah peluang yang jarang-jarang berlaku untuk menyusun semula kedudukan dasar ke arah pluralisme ekonomi, kerjasama melalui platform multilateral, dan keputusan yang disertai dengan kesedaran moral,” kata beliau.

Sehubungan itu, Anwar berkata, tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi ASEAN adalah tepat pada masanya.

Beliau berkata, dalam keadaan perubahan order ekonomi dunia pada masa ini, ASEAN yang diperkasakan dan Malaysia yang stabil bererti "kita tidak lagi hanya ingin berperanan sebagai pemerhati.”

"Apabila Asia menjadi pusat ekonomi global, ASEAN dijangka menjadi blok ekonomi keempat terbesar.

"Sebahagian besar daripada pertumbuhan global akan bertunjang daripada kombinasi ASEAN, India dan China. (Ini akan) menghasilkan kelas pertengahan yang berkembang dan pengaruh yang semakin meningkat dalam membuat keputusan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!