'Otai' sambung belajar di politeknik demi kejar impian buka pusat servis
PORT DICKSON - Bagi mengejar impiannya membuka pusat servis kenderaan suatu hari nanti, seorang bapa kepada dua anak nekad menyambung pengajiannya di Politeknik Port Dickson dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) ketika berusia 47 tahun.
Mohd Safuan Nadin, merupakan pelajar baharu paling 'senior' mendaftar di politeknik berkenaan bagi sesi II 2024/2025.
Baginya, masih belum terlambat untuk berbuat demikian ditambah pula bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini dilihat mempunyai masa depan yang lebih cerah.
"Saya memilih menyambung pengajian dalam bidang automotif ini pertamanya kerana minat dan keduanya saya dah merancang dengan anak sulung selepas tamat pengajian untuk membuka pusat servis kenderaan.
"Anak saya kini berusia 22 tahun dan sedang menyambung Ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dalam bidang perniagaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dia yang pernah bekerja sebagai Pengurus Agensi Kumpulan dalam Unit Amanah dan Takaful berkata, keputusan menyambung pengajian terbabit dibuat tahun lalu selepas berbincang dengan keluarga.
Katanya, dia tiada masalah untuk menyambung pengajian sepenuh masa kerana tidak lagi bekerja selepas memilih 'bersara' pada usia 40 tahun.
"Memang sasaran saya apabila cukup saja duit simpanan pada usia 40 tahun, saya tidak lagi mahu bekerja.
"Jadi dalam tempoh enam tahun, saya hanya duduk di rumah saja. Tapi sejak tahun lalu saya terfikir mahu membuka pusat servis kenderaan bersama anak dan disebabkan itu saya nekad sambung belajar untuk menambah ilmu," katanya.
Ditanya kenapa memilih politeknik, Mohd Safuan berkata, institusi pendidikan berkenaan sudah jauh berubah berbanding dahulu.
Ujarnya, berdasarkan pengamatannya, politeknik hari ini bukan saja bertambah baik dari segi evolusi teknologinya tetapi juga fasiliti disediakan serta sistem pembelajarannya juga lebih tersusun.
"Saya adalah alumni Politeknik Ungku Omar pada tahun 1998. Ketika itu saya mengambil sijil Kejuruteraan Mekanikal.
"Jadi saya nampak perkembangan politeknik hari ini,"katanya yang juga merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia.
Selain itu, Safuan turut menggalakkan generasi muda hari ini memilih bidang TVET untuk menyambung pengajian mereka.
"Kalau kita tengok, industri hari ini sangat memerlukan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan TVET.
"Ini kerana bahagian teknikal ini berkembang luas dan di negara kita pun industri bertambah setiap tahun. Jadinya negara sangat memerlukan tenaga mahir,"katanya.
Oleh sebab itu ujarnya, fokus kerajaan dalam bidang TVET sekali gus meletakkan politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi adalah satu inisiatif yang baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!