Sindiket dadah mula ubah taktik - JKDM

Anis Rizana (kiri) melihat paparan jadual jumlah kes dan rampasan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
Anis Rizana (kiri) melihat paparan jadual jumlah kes dan rampasan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sindiket penyeludupan dadah mula mengubah modus operandinya apabila menggunakan bungkusan parcel bagi membuat pengedaran barang terlarang itu sama ada masuk atau keluar negara.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sebanyak 585 kes dengan rampasan 4,433.95 kilogram (kg) dadah bernilai RM152.62 juta direkodkan tahun lalu.

Menurutnya, jika sebelum ini taktik penyeludupan dadah menggunakan 'keldai' tetapi sekarang sindiket menggunakan parcel.

"Ini yang kita kesan. Kita telah susun strategi bagi tangani kes ini termasuklah menempatkan Unit Anjing Pengesan (K9) selain kerjasama rapat dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Putrajaya di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Anis Rizana memaklumkan dadah merupakan antara rampasan tertinggi tahun lalu dengan 7,215 kes bernilai RM1.644 bilion direkodkan.

"Selain dadah, rampasan rokok mencatatkan 2,545 kes dengan rampasan RM492.64 juta, kenderaan (1,021 kes, RM311.22 juta), minuman keras (1,045 kes, RM129.7 juta), mercun dan bunga api (120 kes, RM4.83 juta) serta lain-lain komoditi (1,899 kes, RM553.41 juta)," katanya.

Beliau berkata, angka ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 85.91 peratus berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak RM884.27 juta.

"Kejayaan ini menunjukkan komitmen tinggi JKDM dalam memperkukuh kawalan sempadan, pertingkat penguatkuasaan undang-undang serta memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada ancaman kegiatan penyeludupan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, JKDM turut meminta orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.

"Kastam memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!