Proses pindah 90 kubur Selat Klang hampir selesai
KLANG - Hampir 90 kubur termasuk lapan kubur bayi sudah dialihkan kira-kira 50 meter dari lokasi asal di tanah perkuburan Selat Klang di sini pada Khamis.
Kerja penggalian dan pemindahan dijangka selesai sepenuhnya hari ini selepas bermula sejak Isnin lalu, bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Tinjauan Sinar Harian mendapati proses menggali kubur dan kerja pemindahan itu berjalan lancar mengikut garis panduan ditetapkan sebelum ini.
Walaupun waris tidak dibenarkan untuk menyaksikan proses terbabit secara dekat namun mereka tetap hadir mengikut giliran yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Tinggal beberapa buah kubur sahaja belum dipindahkan untuk cukup 90, kubur ini dipindahkan kira-kira 50 meter dari lokasi asal dan hari ini giliran kami datang.
"Kami perlu mematuhi garis panduan pihak berkuasa berkaitan sepanjang berada di sini jadi kami reda agar semua berjalan dengan lancar," ujar seorang waris.
Wanita yang enggan mendedahkan namanya itu berkata, kawalan keselamatan pada Khamis juga lebih ketat berbanding pada hari-hari sebelumnya.
Sementara itu, seorang warga emas, Kalthsom Darus, 78, berkata, semua pihak perlu berlapang dada kerana proses itu dilakukan mengikut undang-undang.
"Suka atau tidak kubur ini tetap akan dipindahkan maka semua pihak perlu reda dan kerja pemindahan itu pula dilakukan oleh pihak berkuasa (agama)," ujarnya.
Namun demikian, masih terdapat keluhan didengari daripada waris yang hadir malah ada yang menyalahkan pihak lain kerana mensensasikan perkara itu.
Ini kerana dakwa mereka, ia menutup peluang waris yang hadir pada Khamis untuk melihat dari dekat kerja pemindahan yang dilakukan pada hari terakhir ini.
"Selain tidak dibenarkan masuk, pihak terlibat juga sudah menutup sebahagian pagar zink kerana sebelum ini ada pihak yang merakam video di dalam,” kata waris terbabit.
Terdahulu, berdasarkan notis ditampal di pagar tanah perkuburan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 Julai 2023 dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Oktober tahun lalu telah menimbang teliti, meluluskan Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran ECRL berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!