Bayi maut: Taska didapati tidak berlesen, diarah tutup

Azmir. Laporan Sinar Harian berhubung kematian bayi yang berusia empat bulan di Taska
Azmir. Laporan Sinar Harian berhubung kematian bayi yang berusia empat bulan di Taska
A
A
A

SHAH ALAM - Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang menjadi lokasi seorang bayi lelaki empat bulan maut, Jumaat lalu didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, pihaknya sebelum ini menerima maklumat berkaitan kejadian melibatkan bayi berkenaan pada Ahad.

"Pegawai JKM kemudiannya ditugaskan ke taska terbabit bagi menjalankan semakan dan mendapati ia tidak berlesen.

"Susulan itu, taska terbabit telah diarahkan supaya menutup operasinya bagi tindakan selanjutnya berhubung kejadian ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, siasatan berkaitan kematian bayi berkenaan dijalankan pihak polis.

"JKM mengambil tindakan melibatkan premis, termasuk semakan memastikan ia berdaftar atau sebaliknya, berkaitan kes ini kita dapati ia tidak berdaftar.

"Berhubung punca kematian bayi berkenaan dan siasatan sama ada melibatkan elemen-elemen lain, ia akan dijalankan oleh pihak polis," katanya.

Dalam pada itu, Azmir menegaskan bahawa taska yang beroperasi diwajibkan berdaftar dan memiliki lesen yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang menjadi masalahnya adalah terdapat taska-taska yang didapati beroperasi dahulu sebelum memohon untuk mendapatkan lesen yang sah.

"Sekiranya tidak berdaftar, ia akan menimbulkan masalah terutamanya dalam soal menangani sebarang kejadian yang tidak diingini serta kakitangan bertugas tidak terlatih terutamanya dalam soal penjagaan bayi atau kanak-kanak yang ditempatkan di taska terbabit," katanya.

Sementara itu, Azmir turut mengingatkan ibu bapa agar menghantar anak-anak mereka ke taska yang berdaftar secara sah.

"Taska yang berdaftar ini, kakitangannya memiliki sijil pengurusan dan penjagaan kanak-kanak yang diperakui JKM, dan masa sama mereka memiliki kemahiran sepatutnya dalam menjaga kanak-kanak.

"Ibu bapa dinasihatkan agar menyemak senarai taska-taska berdaftar di laman sesawang JKM sebelum menghantar anak mereka," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bayi lelaki berumur empat bulan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di sini pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!