Pemilihan PKR stabilkan kepimpinan Anwar, terus terajui negara
KOTA BHARU - Pemilihan sempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijangka awal tahun ini bertujuan memastikan kestabilan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kekal menerajui parti dan negara.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR dan rakan politiknya juga sudah membuktikan proses demokrasi yang dilaksanakan dengan harmoni.
Beliau memberitahu, semangat demokrasi dikekalkan dalam pentadbiran Anwar dan proses itu dapat diteruskan.
"Kita yakin dan terus mahu memastikan kepimpinan Anwar sebagai Presiden parti dapat diteruskan dan apa juga pemilihan memang ke arah menstabilkan pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sesi Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada Khamis.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kepimpinan parti itu turut akan membincangkan mengenai jalinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
"Insya-ALLAH, perkara itu akan terus dibincangkan bersama untuk kebaikan kedua-dua pihak," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kongres Nasional PKR 2024 yang ditangguhkan susulan banjir di beberapa negeri dan tetap akan dilaksanakan selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, kongres berkenaan dijangka diadakan selepas monsun timur laut berakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!