Kerajaan ambil pendekatan global dalam RMK13 - Rafizi
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil pendekatan global untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dilancarkan tahun ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Rafizi berkata, persekitaran global sedang berubah, menuntut pemikiran dan tindakan teliti supaya negara-negara kecil, terbuka dan berkecuali (SONA) seperti Malaysia mengambil peranan penting di persada dunia.
"Negara-negara dalam kumpulan SONA di Asia Tenggara akan memainkan peranan penting kerana profil, pendekatan dan visi rantau ini melawan arus global yang sedang menuju ke arah bertentangan,” katanya di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025.
Oleh itu, Rafizi berkata, Malaysia dan Asia Tenggara mesti mengiktiraf perbezaan unik yang mereka miliki untuk menentukan hala tuju mereka dalam dekad ini.
Rafizi berkata, wilayah itu mempunyai demografi dan pertumbuhan yang unik ketika ini dan dalam keadaan yang dijangkakan pada masa hadapan.
"Apa yang sering diulang adalah berkaitan saiz pasaran bahawa 665 juta penduduk Asia Tenggara akan berkembang menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia.
"Bagaimanapun...butiran mengenai peralihan ini adalah menarik juga. Dalam tempoh lima tahun, penduduk kelas pertengahan di rantau ini akan bertambah dua kali ganda daripada dua dekad lepas,” kata Rafizi.
Rafizi berkata, ia membolehkan kelas pertengahan muncul sebagai majoriti besar di Asia Tenggara pada 65 peratus, melebihi saiz populasi Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, menjadikan rantau itu kuasa pengguna dengan kuasa perbelanjaan dan taraf hidup yang lebih tinggi.
"Tambahan lagi mengambil kira golongan belia dan sektor digital kerana jumlah golongan muda Asia Tenggara akan menjadi lebih ramai, mereka akan terlibat dalam keusahawanan dan lebih terhubung secara digital berbanding rantau lain di dunia.
"Walaupun rantau lain dijangka menguncup atau perlahan, Asia Tenggara masih diunjurkan berkembang pada kadar yang sihat, iaitu antara 4.0 hingga 5.0 peratus untuk dekad akan datang," katanya.
Ujar Rafizi, dunia boleh berubah, mengubah peraturannya dan menuntut pilihan dan komitmen daripada negara-negara yang lebih kecil tetapi beliau menyeru rantau itu untuk tidak mengubah pendekatannya dan kekal memainkan peranan menjuarai perdagangan bebas dan menyokong kerjasama.
Beliau berkata, bagi Asia Tenggara untuk keluar daripada 'perangkap berpendapatan sederhana' yang secara tradisinya bergantung kepada buruh kos rendah, bernilai rendah, ia mesti menerima pakai dan membangunkan inovasi.
Inovasi memerlukan kerjasama terbuka dan kolaboratif dengan orang lain, katanya.
"Ini bermakna dekad yang menentukan ini akan menyaksikan Asia Tenggara melawan arus global dengan terus menjalinkan kerjasama dan perkongsian dengan sekutu tradisional dan bukan tradisional berdasarkan parameter menang-menang pragmatik supaya pertumbuhan Asia Tenggara terjamin.
"Dunia perlu bersaing dengan model Asia Tenggara yang kelihatan sangat berbeza daripada apa yang ada ketika ini tetapi mempunyai keberkesanan sama dalam menyelesaikan sesuatu. Bagaimana rantau ini bekerjasama adalah untuk tidak mempersoalkan sistem politik setiap negara dan pilihan pengundi tetapi untuk mengusahakan titik persamaan," katanya.
Rafizi menekankan bahawa kumpulan pemimpin progresif dan berpandangan jauh ke hadapan pada masa ini telah menunjukkan minat khusus untuk memajukan dasar yang baik untuk pertumbuhan ekonomi, ia mungkin akan berterusan untuk dekad akan datang.
Bagi Malaysia, beliau menyifatkan demografi dan pertumbuhan negara sebagai unik.
"Perdagangan bebas dan kerjasama kita jalankan berbeza dengan arus global manakala keadaan politik dan dasar yang stabil menyerlah daripada yang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!