Padah seleweng 36,654 liter minyak diesel
SEREMBAN - Sebuah syarikat perkhidmatan logistik didenda RM190,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan melakukan urus niaga borong minyak diesel tanpa lesen pada 10 November, dua tahun lalu.
Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas syarikat KIJ Global Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Nazrulkamal Mohammad, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, syarikat KIJ Global Sdn Bhd didapati telah ada dalam kawalan iaitu barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu diesel sebanyak 36,654 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Ia berkaitan berurusan dengan diesel secara borong tanpa lesen yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.
Perbuatan itu dilakukan pada jam 9 pagi di sebuah jeti di Bengkel Kampung Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Port Dickson pada 10 November 2023.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Alimah Mohd Sanusi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan sebanyak RM106,296.60 dan kapal tangki Aliya Sari milik syarikat dilucut hak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!