Titah Adendum: Pas Pahang pertikai ketelusan Kerajaan Madani, tindakan PKR
KUANTAN – Pas Pahang mengecam tindakan Kerajaan Madani yang didakwa menyembunyikan kewujudan Titah Adendum dan cuba menutup kebenaran dengan alasan 'subjudis'.
Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan turut mempersoalkan sikap enam jabatan kerajaan yang didakwa membisu terhadap surat pertanyaan dihantar oleh Datuk Seri Najib Razak sebelum kes ini dibawa ke mahkamah.
“Siapakah yang mengarahkan mereka untuk menutup mulut? Tindakan ini membuktikan wujudnya usaha menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menyelar tindakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa cuba mempersoalkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Jelas Aireroshairi, tindakan terbabit adalah satu bentuk penghinaan terhadap institusi diraja yang perlu disiasat di bawah kesalahan Raja, Agama dan Kaum (3R)
“Lebih memalukan, mereka membawa persepsi kononnya keputusan baginda akan mewujudkan ‘precedent’ untuk banduan elitis.
"Mereka seolah-olah mencadangkan Seri Paduka Baginda tidak bijaksana dalam membuat keputusan, sedangkan rekod baginda dalam menangani krisis politik negara tidak pernah dipertikaikan,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan tuduhan kerajaan terhadap Pas yang didakwa menderhaka kepada raja, sedangkan kerajaan hari ini didakwa lebih jelas tidak mematuhi titah Agong dalam beberapa isu sebelum ini.
"Bukankah ini satu bentuk penderhakaan yang lebih besar? Sejarah membuktikan kebijaksanaan tindakan baginda dalam menangani isu-isu besar negara, termasuk krisis ketika peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya.
Aireroshairi turut mempersoalkan tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan bertanya, jika benar kerajaan tidak menyembunyikan sebarang perkara, mengapa pertanyaan yang dihantar kepada enam jabatan penting kerajaan tidak dijawab?
"Adakah ini mencerminkan ketelusan yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan Madani, keberanian ahli PKR mempersoalkan kuasa prerogatif Agong adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima," ujarnya
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa menyiasat segera ahli PKR yang telah menghina institusi diraja ini.
"Jika berani bercakap tentang keadilan, saya mencabar mereka untuk meminta Perdana Menteri mereka menyambung semula baki hukuman beliau!," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!