SKMM rakam keterangan ADUN Sungai Burong isu fitnah PM
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selesai merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin pada Selasa lalu bagi membantu siasatan isu memuat naik hantaran palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook.
SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di Facebook yang didapati menyebarkan kandungan tidak benar.
Menurut SKMM lagi, satu unit telefon pintar berserta kad sim juga diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes dan analisis forensik bakal dijalankan ke atas peranti berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, kebanyakannya merupakan akaun palsu. Namun, pihak SKMM mengenal pasti salah satu daripadanya ialah Mohd Zamri.
“Susulan itu, SKMM telah merakam percakapan beliau pada 7 Januari lepas bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak membuat laporan polis terhadap Zamri Mantop dan individu dikenali sebagai Aiman Zaki yang memuat naik hantaran berunsur fitnah membabitkan Anwar.
Ketua PKR Cabang Lumut, Abdul Razak Nazri memaklumkan, hantaran berbaur fitnah mengatakan Anwar memberi sokongan kepada aktivis, Iswardy Morni yang didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin lalu boleh menjejaskan reputasi dan nama baik pemimpin negara tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes terbabit dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.
SKMM memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kami memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan pastikan maklumat yang disebarkan adalah sahih.
“Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!