Penyelesaian isu ASEAN perlu ditangani bersama dengan sokongan padu ekonomi - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyelesaikan isu-isu kritikal ASEAN sama ada mengenai Myanmar atau Laut China Selatan perlu dilakukan secara bersama-sama dan bukan semata-mata bergantung kepada usaha pengerusi pertubuhan 10 anggota itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat harapan bahawa pengerusi ASEAN mungkin perlu 'membebaskan' rantau ini daripada krisis yang telah lama berlarutan dengan menangani segera isu-isu mendesak yang membayangi blok tersebut.

"Tetapi untuk menyelesaikan semua (isu) ini memerlukan setiap negara anggota - terutamanya yang lebih kukuh dari segi ekonomi dengan kredibiliti politik yang teguh - untuk berganding bahu bersama-sama menangani isu-isu tersebut."

"Ya, pengerusi perlu meneraju usaha, tetapi tanggungjawab tidak seharusnya dipikul oleh pengerusi seorang sahaja,” katanya menerusi ucapan penutup beliau pada Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN: Tinjauan bagi 2025 di sini pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, ini amat penting kerana memandangkan perubahan meluas di peringkat serantau dan global, dinamik antara ASEAN perlu mengambil masa untuk membuka ruang kepada konsensus yang lebih kukuh.

Mengenai beberapa negara anggota ASEAN yang menunjukkan minat atau bakal menyertai perkumpulan BRICS, beliau berkata masih belum dapat dipastikan bagaimana BRICS akan berfungsi sebagai pengimbang kepada hegemoni (dominasi) Barat.

Namun, ia adalah satu perkembangan yang perlu diambil kira oleh semua negara anggota, katanya.

Selain Malaysia, Indonesia (kini anggota penuh), Vietnam dan Thailand, bagaimana negara ASEAN yang lain melihat manfaat keanggotaan/perkongsian dengan BRICS akan mempengaruhi pertumbuhan dan daya tahan ekonomi ASEAN pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sesetengah pihak mungkin berpendapat BRICS tidak mempunyai perpaduan yang diperlukan untuk kestabilan jangka panjang tanpa kuasa penyatuan.

Bagaimanapun, rekod prestasi 50 tahun ASEAN merupakan bukti utuh tentang bagaimana kepelbagaian politik dan ekonomi boleh bergandingan bersama selain memupuk keamanan dan kemakmuran.

Jadi, dengan lebih banyak negara ASEAN menyertai BRICS boleh membantu meningkatkan pengalaman positif ASEAN melangkaui Asia Tenggara, jelasnya.

"Senarai di atas bukanlah lengkap sepenuhnya, tetapi saya percaya itu adalah yang paling penting yang akan menentukan bagaimana Malaysia mengemudi hala tuju ASEAN sepanjang kepengerusiannya,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya isu-isu sukar ini berjaya ditangani dengan baik pada 2025, Malaysia boleh menghidupkan semangat baharu ASEAN bagi menghadapi tahun-tahun mendatang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!