Anwar enggan layan desakan letak jawatan
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan desakan Pas agar beliau meletak jawatan berhubung isu Titah Adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Anwar yang ditemui wartawan pada Forum Ekonomi Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hanya tersenyum sambil memberi respons 'oooh' sebelum berlalu pergi bersama rombongannya sebaik diajukan soalan berkenaan.
Desakan itu timbul susulan pengesahan kewujudan titah tersebut dalam surat yang diterima daripada Istana Pahang, minggu lalu.
Pada Isnin, Pas menggesa Anwar meletakkan jawatan kerana didakwa menyembunyikan kebenaran mengenai titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah sekitar Januari tahun lalu.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri perlu bertanggungjawab terhadap perkara itu.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mendakwa bahawa penyembunyian titah tambahan itu adalah suatu bentuk pengkhianatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!