Kedah miliki pelbagai keunikan, berpotensi didaftar harta intelek

Mohd Zuhan (kanan) memotong riben pada pintu pejabat satelit MyIPO di UTC Alor Setar sebagai simbolik perasmian.
Mohd Zuhan (kanan) memotong riben pada pintu pejabat satelit MyIPO di UTC Alor Setar sebagai simbolik perasmian.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah memiliki pelbagai produk lokal berpotensi yang boleh didaftarkan sebagai harta intelek bawah kategori petunjuk geografi (GI).

Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, produk yang didaftarkan bawah GI memberi nilai tambah selain potensi harga yang lebih tinggi malah dapat meningkatkan tahap ekonomi pengusaha.

Menurutnya, setakat ini hanya dua produk Kedah didaftarkan bawah GI, iaitu kunyit putih dan Anggur Tasik Beris.

“Keunikan yang ada di satu-satu tempat boleh didaftar bawah GI, namun bukan secara individu, ia perlu didaftarkan bawah agensi, komuniti, persatuan atau bawah kerajaan negeri.

“Contohnya, kunyit putih didaftarkan bawah Jabatan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Biarpun pengusaha merupakan individu tetapi pendaftaran di bawah Jabatan Pertanian,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat satelit MyIPO di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar pada Khamis.

Mohd Zuhan berkata, keunikan tersebut tidak dapat ditandingi di tempat lain dan menjadi hak eksklusif selepas didaftarkan.

“Pasukan kita akan datang membuat penilaian dan kajian berdasarkan beberapa kriteria, mengikut keunikan yang dimiliki oleh kawasan tersebut.

“Antara produk yang telah didaftarkan GI antaranya Musang King di Bentong dan Durian Kunyit di Tanah Merah.

Artikel Berkaitan:

“Saya dapati Kedah berpotensi besar kerana miliki banyak keunikan lokal yang boleh diangkat sebagai petunjuk selain menjadi daya tarikan pelancongan kepada kerajaan negeri Kedah,” ujarnya.

Menurutnya, antara produk berpotensi namun belum didaftarkan termasuk belacan Kuala Kedah, gamat dan garam bukit dari Langkawi serta Beras Kedah.

“Mungkin ramai belum kenali Beras Kedah, beras wangi ini jika mendapat kelulusan dari MyIPO akan menambah nilai produk tersebut seterusnya diangkat ke tahap lebih baik, termasuk hingga ke persada antarabangsa.

“Saya yakin jika Beras Kedah didaftarkan GI, ia akan menjadi sumber kekayaan baharu kerajaan negeri termasuk pengusahanya,” katanya.

Mohd Zuhan berharap kerajaan negeri berkolaborasi dengan MyIPO dalam melonjakkan lagi keunikan yang ada di Kedah untuk dijadikan hak eksklusif.

“Di Sarawak dan Sabah masing-masing lebih 30 item didaftarkan bawah GI berbanding hanya dua di Kedah. Kedah miliki banyak keunikan, kita harap kerajaan negeri dan agensi fokus kepada pendaftaran GI,” katanya.

Mohd Zuhan (tengah) bersama sebahagian penerima sijil masing-masing di pejabat satelit MyIPO Alor Setar pada Khamis.
Mohd Zuhan (tengah) bersama sebahagian penerima sijil masing-masing di pejabat satelit MyIPO Alor Setar pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan pendaftaran harta intelek akan meningkat lebih 60 peratus dengan wujudnya pejabat satelit di beberapa negeri.

“Kita sasarkan enam pejabat satelit dibuka dalam negara, Kedah merupakan pejabat satelit ketiga dibuka selepas Terengganu dan Perak.

“Tiga lagi akan dibuka di Kota Bharu, Kelantan diikuti Tawau, Sabah serta di Miri, Sarawak,” katanya.

Mohd Zuhan jelaskan, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan dalam pendaftaran cap dagangan, hak cipta dan paten selain GI dengan adanya pejabat satelit untuk kemudahan usahawan.

“Untuk tahun lepas kita terima 64,000 pendaftaran, daripada jumlah itu 37 peratus (2023) adalah pendaftaran lokal dan berlaku peningkatan 8.6 peratus menjadikan lebih 40 peratus untuk tahun 2024.

“Saya sasarkan dapat melepasi 50 peratus bagi tahun ini dengan pembukaan pejabat satelit baharu,” katanya.

Beliau percaya dengan promosi dan program kesedaran, lebih ramai usahawan tampil mendaftarkan produk mereka kelak.

“Dengan peningkatan ekonomi yang positif, serta dasar negara yang baik dan selari dengan apa yang diusahakan MyIPO, saya yakin pendaftaran akan capai lebih 50 peratus.

“Kita beri jaminan pendaftaran bagi memastikan idea dan kreativiti di Malaysia terpelihara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!