Menangis dapat 'dekat' dengan Rasulullah

Peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin mendengar taklimat daripada pengiring sebelum masuk ke Raudah. Gambar kanan: Nur Fatihah (kiri) tidak dapat menahan sebak apabila dapat melangkah ke Raudah dan melihat makam Rasulullah S.A.W lebih dekat.
Peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin mendengar taklimat daripada pengiring sebelum masuk ke Raudah. Gambar kanan: Nur Fatihah (kiri) tidak dapat menahan sebak apabila dapat melangkah ke Raudah dan melihat makam Rasulullah S.A.W lebih dekat.
A
A
A

MADINAH - Peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin menangis bagi menzahirkan perasaan mereka sepanjang berada 'dekat' dengan Rasulullah S.A.W di sini.

Pengalaman kali pertama menjejakkan kaki di 'Kota Yang Bersinar' itu, mereka yang terdiri daripada 65 anak muda bagaikan merasai dekat dan bersama-sama dengan kekasih ALLAH tersebut.

Peserta, Mohamad Zainolariffin Mukhtar, 23, berkata, selama ini mereka hanya mampu 'memendam' rindu kepada insan agung itu namun peluang menjejakkan kaki di makam nabi terakhir itu membuatkan air mata mengalir laju sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Nampak sahaja kubah hijau dari jauh, hati mulai sebak. Selama ini kami hanya baca, faham dan membayangkan sahaja bagaimana perjuangan Rasulullah S.A.W menegakkan Islam.

"Kali ini baginda (Rasulullah S.A.W) seperti berada di hadapan kami. Dapat menghirup udara, berdiri di tempat yang sama pernah dijejaki oleh Nabi Muhammad," katanya kepada Sinar Harian.

Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin terdiri daripada 29 perempuan dan 36 lelaki dimana mereka berada di Madinah selama lima hari bermula Sabtu hingga Rabu.

Menurut pelajar pondok yang berasal dari Gua Musang itu, dia sama sekali tidak pernah terfikir akan sampai ke sini dan diterbangkang secara percuma untuk menunaikan umrah oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Bagi Nur Fatihah Mat Ali, 21, pula, pengalaman empat kali gagal untuk memasuki Raudah dan berada dekat dengan Nabi Muhammad S.A.W membuatkan dia sebak apabila pendaftaran yang dibuat pada aplikasi Nusuk tidak berjaya.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa kali saya cuba, dan apabila memikirkan ini merupakan peluang terakhir untuk masuk ke Raudah sebelum pulang ke tanah air membuatkan saya nekad, tanpa mengalah.

"Saya berdoa tanpa henti supaya berpeluang ke taman syurga itu dan akhirnya berjaya pada cubaan ke lima selepas menyuarakan hasrat tersebut kepada sekumpulan jemaah dari Indonesia yang melihat saya menangis teresak-esak kerana gagal masuk ke Raudah," katanya.

Mutawif, Ahmad Junaidi Omar (tengah) bersama peserta wanita semasa sesi lawatan ke makan Nabi Muhammad S.A.W di Masjid Nabawi.
Mutawif, Ahmad Junaidi Omar (tengah) bersama peserta wanita semasa sesi lawatan ke makan Nabi Muhammad S.A.W di Masjid Nabawi.

Menurut pembantu kedai makan itu ia bagaikan mimpi, akhirnya dia berjaya solat sunat hajat dan berdoa sepuas hati di Raudah dan lebih istimewa lagi ia dapat dilakukan di saf paling hadapan tanpa sebarang gangguan.

Ujarnya, ketika ini dia hanya mampu mengalirkan air mata sebagai tanda syukur di atas nikmat dan peluang yang diberikan sepanjang berada di Madinah.

Haifa Amylia Arafat Yaseer, 20, pula, tidak pernah terfikir menjadi orang terawal menjejak kaki ke Raudah apabila dia gagal membuat pendaftaran awal melalui Nusuk walaupun telah cuba beberapa kali.

Pelajar Diploma Al-quran dan Al-Sunnah dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) memberitahu, pada pagi itu dia mendapat mesej pesanan daripada mutawif yang menyataan tiga jemaah umrah diperlukan untuk lawatan ke taman syurga terbabit.

"Tanpa berlengah saya terus merebut peluang itu dan siapa sangka pada awalnya gagal beberapa kali untuk membuat pendaftaran bertukar menjadi orang pertama merasai peluang yang dinantikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia.

"Alhamdulillah, ia menjadi kenangan yang sukar digambarkan apabila perasaan sedih, gembira, bersyukur bersilih ganti," katanya.

Sinar Harian pada 30 Disember lalu melaporkan, seramai 65 anak muda telah dipilih dan layak mengikuti Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun itu adalah bujang, tidak pernah menunaikan umrah dan telah lulus dengan jayanya solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin selama 30 hari tanpa gagal iaitu 90 waktu melibatkan solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Menurutnya, objektif program ini diadakan adalah untuk menarik minat golongan muda yang berasal dari Kelantan mengimarahkan masjid sekali gus membentuk mereka dalam mendalami asas kerohanian serta ilmu fardu ain sebelum ke tanah suci.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!