3 warga Indonesia ditahan bantu siasatan kes wanita, bayi ditemui mati tepi jalan

Tan Seng Lee. Laporan Sinar Harian berhubung penemuan mayat wanita, bayi lelaki di tepi jalan pada Selasa
Tan Seng Lee. Laporan Sinar Harian berhubung penemuan mayat wanita, bayi lelaki di tepi jalan pada Selasa
A
A
A

KULAI - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga Indonesia dan bayinya yang ditemui mati di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek warga Indonesia itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada Rabu.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 42 hingga 53 tahun itu ditahan di kawasan Kulai dan Johor Bahru dalam serbuan antara jam 2.30 hingga 4.30 petang.

"Turut dirampas empat telefon bimbit, sebuah kereta Proton, satu tilam dan satu tikar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis bagi meneruskan siasatan bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan kes terbabit.

Pada Selasa, Seng Lee dilaporkan mengesahkan penemuan mayat wanita yang juga warga asing itu bersama bayi berkenaan.

Katanya, Balai Polis Kelapa Sawit menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 8.15 pagi memberitahu terlihat seorang wanita, bangsa tidak pasti terbaring di tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

Polis yang bertindak atas maklumat ke lokasi dilaporkan dan mendapati seorang wanita terbaring di tepi jalan bersama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong.

Seng Lee juga dilaporkan berkata, tiada sebarang kecederaan luaran pada mayat wanita dan bayi itu dan ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran tempat mayat dijumpai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!