Pengarah hospital di Wuhan meninggal dunia
BEIJING - Ketua hospital utama di bandar Wuhan, China dilaporkan meninggal dunia hari ini menjadikannya doktor Cina terkenal kedua yang terkorban akibat koronavirus (Covid-19).
Menurut laporan penyiar televisyen negara, Dr Liu Zhiming yang merupakan Pengarah Hospital Wuhan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan).
Sehari sebelum kematiannya, Suruhanjaya Kesihatan Hubei memuat naik entri di media sosial memaklumkan Zhiming telah tiada dan menarik balik kenyataan terdahulu dengan mengatakan beliau masih hidup tidak lama kemudian.
"Menurut ahli keluarga Zhiming, pihak hospital masih berusaha untuk menyelamatkannya," tulis suruhanjaya itu turut memberitahu kesilapan sebelum ini adalah daripada kenalan doktor berkenaan yang tidak mengetahui keadaan terkini rakannya.
Awal bulan lalu, jutaan rakyat China bersedih di atas kematian seorang pakar mata Dr Li Wenliang yang memberi amaran awal tentang kewujudan Covid-19.
Setakat ini, wabak itu telah mencatatkan 1,873 kematian dan 73,428 di dalam dan luar China. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!