[VIDEO] Sabah sedia tampung kos bina lorong memotong jalan Kundasang-Ranau
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah bersetuju untuk menampung kos membina lorong memotong di Jalan Kundasang-Ranau sebagai usaha mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut terutama pada waktu puncak.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jalan Tamparuli dan Ranau antara tersibuk di negeri ini memandangkan ia adalah laluan utama untuk menghubungkan Kota Kinabalu dan pantai timur Sabah.
"Banyak melibatkan kesesakan jalan raya yang teruk khususnya antara Kundasang dan Ranau, jadi Kabinet sudah bersetuju untuk membina lorong memotong sebagai langkah sementara untuk mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.
"Oleh kerana ini, ia mungkin memerlukan belanja yang tidak terlalu banyak dan kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan belanja walaupun jalan raya tersebut berstatus jalan persekutuan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah, di Dewan Hakka, Likas, pada Khamis.
Beliau berkata, penilaian kos masih belum dibuat kerana menunggu Jabatan Kerja Raya menentukan rekaan laluan memotong tersebut.
"Namun pembinaannya masih di jalan raya yang sama. Selepas direka barulah kita dapat buat penilaian berapa kos yang terlibat.
"Cuma pada prinsipnya, kerajaan negeri tidak akan menunggu kerajaan Persekutuan. Sebenarnya lebih baik kalau mereka keluarkan perbelanjaan kerana itu jalan raya persekutuan.
"Tetapi kalau kita rasa terlalu lambat untuk mereka laksanakan, kerajaan negeri bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan kerana ia melibatkan kepentingan awam. ramai yang terkesan," katanya.
Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, beliau yang sering menggunakan laluan tersebut mendapati laluan Kundasang ke Pekan Ranau sepatutnya hanya mengambil masa sekitar 15 minit saja.
"Tetapi jika waktu sesak, waktu puncak dan cuti boleh mencecah sehingga dua jam.
"Bila ada lori di hadapan, kenderaan lain di belakang susah mahu memotong. Jadi kalau kita ada laluan memotong, ini akan memudahkan kenderaan yang lebih laju memotong dan mengurangkan masa perjalanan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!